Untung bersih FGV jatuh 92% kepada RM103 juta pada FY23 akibat kelemahan harga minyak sawit mentah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih FGV jatuh 92% kepada RM103 juta pada FY23 akibat kelemahan harga minyak sawit mentah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - Keuntungan bersih FGV Holdings Berhad jatuh 92% kepada RM103 juta pada tahun kewangan 2023 (FY23) daripada RM1.3 bilion tahun sebelumnya.

 

Pendapatan syarikat perladangan tersebut bagi tahun semasa pula merosot 24% kepada RM19.36 bilion berbanding RM25.56 bilion tahun sebelumnya.

 

Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan menurun kepada 2.82 sen pada FY23 daripada 36.44 sen tahun sebelumnya.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, FGV menjelaskan bahawa prestasi kumpulan dalam tahun kewangan semasa telah terjejas secara negatif oleh kemerosotan keuntungan sektor perladangan. 

 

Pada FY23, keuntungan selepas zakat dan cukai (PBZT) sektor perladangan kumpulan menjunam tujuh kali ganda kepada RM294.82 juta daripada RM2.1 bilion tahun sebelumnya.

 

FGV berkata, purata harga minyak sawit mentah (MSM) direalisasikan lebih rendah pada RM3,901 setiap tan berbanding RM4,832 setiap dan diburukkan lagi dengan kenaikan 29% dalam kos pengeluaran MSM kecuali kilang.

 

Sementara itu, pengeluaran buah tandan segar menurun 9% kepada 3.64 juta tan daripada 3.99 juta tan, menyebabkan hasil yang lebih rendah sebanyak 13.59 juta tan sehektar berbanding 14.57 juta tan sehektar yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, prestasi FY23 diimbangi sebahagiannya oleh peningkatan dalam sektor logistik dan lain-lain serta penguncupan kerugian dalam sektor gula.

 

Sektor gula FGV mencatat kerugian RM23.15 juta, lebih kecil berbanding kerugian RM177.18 juta yang ditanggung pada tahun sebelumnya, dipacu purata harga jualan dan jumlah jualan yang lebih tinggi. 

 

Selain itu, sektor berkenaan mendapat manfaat daripada insentif untuk bungkusan gula tertentu yang dijual di pasaran domestik dan penggunaan kapasiti yang lebih baik.

 

FGV menganggarkan harga MSM pada julat antara RM3,900 dan RM4,200 setiap tan berikutan jangkaan industri sawit bahawa bekalan minyak sawit global untuk pasaran eksport akan terjejas.

 

Ini adalah kerana pelaksanaan mandat biodiesel B35 di Indonesia, permintaan yang lemah daripada negara pengimport utama dan persaingan harga daripada minyak biji sesawi dan minyak bunga matahari.

 

“Pada suku-suku berikutnya, sektor perladangan kami mencatat sedikit peningkatan dalam pengeluaran dan hasil buah tandan segar memandangkan bekalan buruh pulih dan kos ladang bertambah baik didorong oleh pengurangan kos baja dan tenaga. 

 

“Dari segi kemampanan, penilai bebas sedang menjalankan penilaian susulan pelan pemulihan kami. Kumpulan berhasrat untuk menyerahkan petisyen kepada CBP untuk mengubah suai Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) pada 2024,” katanya. - DagangNews.com