Untung bersih FM Global Logistics susut kepada RM8.9 juta pada 2QFY24 kesan kelemahan aktiviti perniagaan | DagangNews Skip to main content

Untung bersih FM Global Logistics susut kepada RM8.9 juta pada 2QFY24 kesan kelemahan aktiviti perniagaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Untung bersih FM Global Logistics Holdings Bhd susut kepada RM8.9 juta pada suku kedua berakhir 31 Disember 2023 (2QFY24) berbanding RM13.3 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan aktiviti perniagaan yang lemah daripada operasi Malaysia dan luar negara.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan juga susut kepada RM200 juta berbanding RM245 juta pada 2QFY23.

 

"Penyusutan keuntungan kumpulan itu adalah disebabkan oleh hasil yang rendah selain kekurangan aktiviti perniagaan bagi operasi di Malaysia dan luar negara," katanya.

 

Untung bersih kumpulan itu bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2023 (6MFY24) juga susut kepada RM16.8 juta berbanding RM26.6 juta disebabkan penurunan hasil kepada RM389.2 juta berbanding RM548.9 juta bagi 6MFY22.

 

Sementara itu, hasil kumpulan bagi suku meningkat RM11 juta kepada RM200 juta berbanding RM189 juta disebabkan peningkatan aktivit perniagaan.

 

Untung kasar kumpulan itu bagi 2QFY24 mencatatkan sedikit peningkatan kepada RM11.9 juta atau 8% daripada RM11.0 juta pada 1QFY24.

 

Mengulas mengenai prospek masa hadapan, kumpulan itu berkata, prestasi mereka dijangka positif meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

 

"Kami akan terus fokus kepada pengembangan pangkalan pelanggannya di peringkat serantau dan menambah baik pengurusan kos," katanya. - DagangNews.com