Untung bersih F&N bagi 4QFY23 melonjak 39% kepada RM137.6 juta, isytihar dividen 50 sen | DagangNews Skip to main content

Untung bersih F&N bagi 4QFY23 melonjak 39% kepada RM137.6 juta, isytihar dividen 50 sen

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov - Keuntungan bersih Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 30 September 2023 (4QFY23) melonjak 39% kepada RM137.6 juta daripada RM98.9 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam kenyataan media hari ini, F&N menjelaskan bahawa prestasi 4QFY23 didorong oleh pemulihan margin dalam perniagaan makanan dan minuman di Thailand, momentum jualan berterusan di Malaysia, termasuk sumbangan daripada Cocoaland, dan dibantu oleh pertukaran mata wang asing baht Thailand dan ringgit yang menggalakkan.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan pada suku dalam tinjauan turut meningkat 9.4% kepada RM1.14 bilion daripada RM1.24 bilion tahun lalu.

 

Jelasnya, pendapatannya pada suku itu didorong jualan perayaan dan penggunaan luar rumah, disokong sumbangan Cocoaland dan pemulihan kukuh dalam eksport ke wilayah Afrika, ASEAN dan Greater China.

 

Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan pula menokok kepada 37.5 sen pada 4QFY23 daripada 27 sen sebelumnya.

 

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen 50 sen sesaham, yang terdiri daripada dividen terakhir sebanyak 33 sen sesaham dan tambahan 17 sen dividen khas sesaham untuk memperingati ulang tahun kumpulan ke-140.

 

Bagi tempoh setahun penuh tahun kewangan 2023 (FY23), keuntungan bersih syarikat berjumlah RM536.9 juta, melonjak 40% daripada RM383.2 juta yang dicatat dalam tahun kewangan 2022 (FY22).

 

Manakala pendapatan F&N bagi FY23 meningkat 11.9% kepada RM5 bilion daripada RM4.47 bilion tahun sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe berkata dengan pelaburan jenama dan pelaksanaan yang berkesan, kumpulan itu memperoleh semula momentum apabila jualan perayaan dan penggunaan luar rumah meningkat semula.

 

 

Lim Yew Hoe
Lim Yew Hoe

 

 

“Walaupun menghadapi cabaran dalam pasaran, seperti harga komoditi yang tinggi untuk barangan seperti gula, kami dapat mengatasinya dengan penetapan harga yang berkesan dan strategi portfolio serta pelaburan jangka panjang yang menguatkan rantaian bekalan dan pengurusan risiko kami, menghasilkan peningkatan suku ke suku yang konsisten,” katanya dalam kenyataan yang sama.

 

Meskipun cabaran seperti turun naik harga komoditi dan tekanan inflasi terhadap permintaan pengguna masih wujud, Lim berkata kumpulan itu yakin rangka kerja membuat keputusan tangkas, fokus pada pengurusan saluran dan komitmen terhadap inovasi dan kecemerlangan akan membantu F&N menyesuaikan diri dengan cepat dan melindungi margin.

 

“Kami akan terus berwaspada dalam persekitaran yang tidak menentu ini, memanfaatkan portfolio jenama terpelbagai, perniagaan dan kehadiran geografi kami untuk mengharungi cabaran ini secara proaktif,” tambahnya.  - DagangNews.com