KUALA LUMPUR 7 Dis - Keuntungan bersih Gamuda Berhad bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024 (1QFY24) sedikit di bawah jangkaan, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata syarikat pembinaan itu memulakan tahun kewangan 2024 (FY24) dengan baik setelah mencatat kenaikan keuntungan bersih sebanyak 2.4% kepada RM194.3 juta dengan pendapatan melonjak dua kali kepada RM2.8 bilion.
"Ini berada sedikit di bawah jangkaan pada 17.9% dan 19.1% daripada unjuran tahun penuh kami dan konsensus.
"Kami masih menganggap keputusan itu selaras dengan jangkaan kemajuan pembinaan dan margin lebih kukuh pada suku-suku akan datang dan pendapatan hartanah yang besar menjelang akhir tahun kewangan," ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut MIDF Research, Gamuda kekal sebagai pilihan utamanya untuk sektor pembinaan, disokong oleh pelan pengembangan luar negara yang kukuh dan usaha berterusan kumpulan dalam meraih kontrak besar.
Firma itu menambah bahawa buku pesanan kumpulan yang melonjak kepada hampir RM26 bilion memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun kewangan akan datang.
Selain itu, firma tersebut berkata prospek Gamuda di Malaysia kekal cerah memandangkan ia boleh menjangkakan penglibatan kumpulan dalam projek MRT3, LRT Pulau Pinang dan Pan Borneo Sabah.
"Di Australia, DT Infrastructure yang baharu diperoleh membuka peluang kepada Gamuda untuk menjalankan lebih banyak projek infrastruktur yang lebih besar, terutamanya kereta api.
"Kunci kira-kira kumpulan juga kekal sihat dengan penggearan bersih sebanyak 24.7%, jauh di bawah had yang dikenakan sendiri sebanyak 70%," tambahnya.
Oleh itu, MIDF Research mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan bagi FY24-25 dan memperkenalkan unjuran FY26 sebanyak RM1.2 bilion.
Ia mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM5.55 sesaham daripada RM5.38.
Setakat pukul 9:41 pagi ini, saham Gamuda telah menokok 1 sen atau 0.2% kepada RM4.42 dengan permodalan pasaran sebanyak RM11.9 bilion. - DagangNews.com