Untung bersih Gas Malaysia susut 1.6% kepada RM383 juta bagi FY23 kesan penurunan jumlah jualan gas asli | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Gas Malaysia susut 1.6% kepada RM383 juta bagi FY23 kesan penurunan jumlah jualan gas asli

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Feb - Gas Malaysia Berhad mencatat keuntungan bersih RM383.4 juta pada tahun kewangan 2023 (FY23), 1.6% sedikit rendah daripada RM389.5 juta yang dicatat dalam tahun sebelumnya.

 

Syarikat utiliti gas itu berkata, kemerosotan itu disebabkan jumlah jualan gas asli menurun, sementara perbelanjaan operasi dan pentadbiran lebih tinggi dan sumbangan lebih rendah daripada syarikat usaha sama kumpulan, sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan kewangan yang lebih tinggi dalam tahun kewangan semasa.

 

Oleh itu, pendapatan sesaham (EPS) kumpulan susut kepada 29.86 sen bagi FY23 daripada 30.34 sen sebelumnya.

 

Sementara itu, pendapatan syarikat utiliti gas itu meningkat 5.6% kepada RM8.1 bilion pada FY23 berbanding RM7.6 bilion tahun sebelumnya, sejajar dengan purata harga jualan gas asli lebih tinggi namun terkesan oleh jumlah gas asli terjual lebih rendah.

 

Bagaimanapun, Gas Malaysia mencatat prestasi yang baik suku ke suku dengan mencatat keuntungan bersih RM104 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), meningkat 9.6% daripada RM95 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23).

 

Ini disebabkan terutamanya oleh jumlah gas asli terjual yang lebih tinggi dan kos gas yang lebih rendah pada suku semasa, sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan operasi dan pentadbiran yang lebih tinggi.

 

Namun, pendapatan kumpulan merosot sedikit 0.8% kepada RM1.8 bilion pada 4QFY23 berbanding RM1.82 bilion suku sebelumnya.

 

Gas Malaysia berkata ia akan terus mengambil langkah berhemat untuk mengekalkan kecekapan operasi agar kekal berdaya saing dan mencari peluang untuk mengembangkan perniagaannya. 

 

“Dengan langkah-langkah tersebut, lembaga pengarah menjangkakan kumpulan akan memberikan prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan 2024 seiring dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi domestik,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Gas Malaysia ditutup kekal pada RM3.38 dengan permodalan pasaran bernilai RM4.3 bilion. - DagangNews.com