Untung bersih Hextar Global meningkat 10% kepada RM15.4 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Hextar Global meningkat 10% kepada RM15.4 juta pada 3QFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - Keuntungan bersih Hextar Global Berhad pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) meningkat 10% kepada RM15.4 juta daripada RM13.96 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan pada suku berakhir 30 September 2023 itu berjumlah RM182.9 juta, melonjak 17% daripada RM155.96 juta tahun lalu, manakala pendapatan sesaham (EPS) kumpulan pula bernilai 0.4 sen berbanding 0.36 sen.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Hextar Global berkata pertumbuhan pendapatannya pada 3QFY23 didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen pertanian dan segmen kimia khas, masing-masing meningkat sebanyak RM12.5 juta dan RM14.5 juta.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), kumpulan itu mencatat keuntungan bersih RM32.7 juta, merosot 27% daripada RM32.7 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan kumpulan pula menurun sedikit 1.2% kepada RM455 juta berbanding RM460.9 juta sebelumnya.

 

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Kumpulan, Lee Chooi Keng berkata walaupun dalam persekitaran pasaran yang mencabar, Hextar masih mampu mencapai prestasi kewangan yang membanggakan sementara ia terus memberikan pertumbuhan dan menambah baik keputusan suku ketiga ini.

 

“Keputusan suku ini mengukuhkan lagi kedudukan dalam pasaran, sementara kami terus berusaha untuk meningkatkan keuntungan daripada sinergi yang diperoleh daripada kepelbagaian perniagaan strategik kami,” ujar beliau.

 

Lee menambah bahawa penyelesaian pengambilalihan terbaharu Hextar Global dalam PHG Ever Fresh Group yang diumumkan bulan lepas mempelbagaikan lagi asas pendapatan kumpulan.

 

Menurut beliau, perniagaan durian tersebut berpotensi untuk meningkatkan pendapatan kumpulan lebih lanjut memandangkan prospek industri durian menggalakkan, disokong oleh potensi pertumbuhan permintaan dari rantau Asia, khususnya dari China.

 

“Pada masa ini, kami sedang giat membangunkan lebih banyak produk berkaitan durian untuk mewujudkan ekosistem bagi mewujudkan kedudukan produk yang bernilai lebih tinggi.

 

“Sebagai tambahan kepada model jualan sedia ada, kami memperkenalkan operasi e-dagang. Pengurusan kami bekerjasama rapat dengan petani durian untuk meneroka pasaran antarabangsa dengan tujuan memperkenalkan durian Malaysia di peringkat global,” tambahnya.

 

Saham Hextar ditutup rendah pada 74 sen, turun 1 sen atau 1.3% dengan permodalan pasaran bernilai RM2.9 bilion.  - DagangNews.com