KUALA LUMPUR 23 Ogos - Untung bersih Hibiscus Petroleum Berhad susut kepada RM123.28 juta bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2023 (4QFY23) berbanding RM255.39 juta yang dicatatkan pada suku yang sama pada 2022.
Hasil kumpulan itu juga menyusut kepada RM503.6 juta daripada RM868.37 juta pada suku yang sama sebelumnya.
Bagi tempoh 12 bulan terkumpul, untung bersih kumpulan itu adalah sebanyak RM400.52 juta dengan hasil sebanyak RM2.34 bilion, berbanding keuntungan bersih RM652.94 juta dan hasil RM1.7 bilion.
Pengarah Urusan Kenneth Pereira berkata, FY23 menandakan tahun penuh pertama aset kumpulan Peninsula Hibiscus yang menyumbang kepada prestasi kewangan dan operasi kumpulan.
"Dengan aset-aset itu, kami telah melepasi hasil sebanyak RM2 bilion buat kali pertama.
"Kami gembira dengan pencapaian ini dan berharap dapat terus meningkatkan pengeluaran kami antara 6% hingga 10% pada FY24 seperti yang dibuktikan oleh panduan jumlah pengeluaran kami yang lebih besar iaitu 7.5 hingga 7.8 MMboe," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hibiscus Petroleum mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 0.5 sen sesaham dan akan dibayar pada 20 Oktober 2023.
Ini menjadikan pembayaran tahunan kumpulan itu kepada dua sen sesaham. Selaras dengan panduan awal kumpulan itu, mereka menyasarkan untuk mengisytiharkan jumlah dividen minimum sesaham sebanyak 2.5 sen sepanjang FY23.
Secara berasingan, kumpulan itu telah mencadangkan untuk melaksanakan penyatuan setiap lima saham Hibiscus sedia ada kepada dua saham disatukan.
Katanya, cadangan penyatuan saham itu adalah untuk mengurangkan ketidakstabilan harga saham syarikat dan mewujudkan persekitaran dagangan yang lebih stabil.
“Setelah selesai cadangan penyatuan saham, modal saham terbitan syarikat akan kekal sama.
"Selain itu, tidak akan ada perubahan dalam peratusan kepentingan ekuiti dan nilai pasaran saham yang dipegang oleh pemegang saham (selain daripada perubahan bukan material akibat pembundaran dan tidak mengambil kira hak pecahan)," katanya. - DagangNews.com








