Untung bersih IOI Corp jatuh 53% kepada RM335.4 juta pada 2QFY24, isytihar dividen 4.5 sen | DagangNews Skip to main content

Untung bersih IOI Corp jatuh 53% kepada RM335.4 juta pada 2QFY24, isytihar dividen 4.5 sen

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - Keuntungan bersih IOI Corp Bhd pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) jatuh 53% kepada RM335.4 juta daripada RM712.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan syarikat perladangan sawit tersebut dalam suku berakhir 31 Disember 2023 itu merosot 27% kepada RM2.4 bilion berbanding  RM3.3 bilion sebelumnya.

 

Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan pula berkurang kepada 5.41 sen daripada 11.47 sen sebelumnya.

 

Lembaga pengarah IOI Corp mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 4.5 sen, yang akan  dibayar pada 21 Mac 2024 bagi mereka yang memegang sahamnya sebelum 8 Mac ini.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, kemerosotan pada suku dalam tinjauan terutamanya akibat sumbangan lebih rendah daripada segmen pembuatan berasaskan sumber.

 

Kumpulan itu menjelaskan bahawa keuntungan segmen terbabit pada 2QFY23 jatuh 81.7% kepada RM85 juta berbanding RM464.3 juta dalam 2QFY22, diheret oleh margin lebih rendah daripada subsegmen oleokimia dan penapisan serta penurunan jumlah jualan subsegmen penapisan.

 

Sementara itu, segmen perladangan mencatat keuntungan 3% lebih rendah pada RM319.4 juta bagi 2QFY23 daripada RM328.2 juta tahun sebelumnya didorong sumbangan syarikat bersekutu yang melonjak lebih 17 kali ganda kepada RM38.5 juta (2QFY22: RM2.2 juta), serta peningkatan pengeluaran buah tanda segar dan kadar perahan minyak.

 

Namun, sebahagiannya diimbangi oleh penurunan harga minyak sawit mentah yang direalisasikan, iaitu RM3,689 setiap tan dalam 2QFY24 berbanding RM4,127 setiap tan pada 2QFY22.

 

Bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24), keuntungan bersih kumpulan mencecah RM639.4 juta, 27% lebih rendah berbanding RM879.6 juta, manakala pendapatannya menurun 34% kepada RM4.6 bilion daripada RM6.97 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu menjangkakan margin penapisan terus rendah atau negatif dalam subsegmen penapisan dan pemasaran komoditinya, disebabkan lebihan kapasiti penapisan di Indonesia ditambah dengan kelebihan harga bahan mentah daripada dasar duti eksport minyak sawit negara itu.

 

“Bagi subsegmen oleokimia, prospek kekal mencabar berikutan ketidaktentuan dalam ekonomi global dan ketegangan geopolitik Amerika Syarikat dan China serta gangguan perkapalan dan kos pengangkutan akibat serangan di Laut Merah baru-baru ini,” katanya.

 

Subsegmen lemak khusus, Bunge Loders Croklaan, dijangka didorong oleh prestasi kukuh dalam perniagaannya di Amerika Utara dan pengenalan penggunaan produk inovatif.

 

"Kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat dan ringgit yang menjejas keuntungan/kerugian pertukaran mata wang asing yang timbul daripada pinjaman dalam mata wang dolar kami dijangka kekal tidak menentu pada separuh pertama 2024," tambahnya. - DagangNews.com