Untung bersih Kerjaya Prospek bagi 3QFY23 melonjak 23% kepada RM35.6 juta, isytihar dividen 2 sen | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Kerjaya Prospek bagi 3QFY23 melonjak 23% kepada RM35.6 juta, isytihar dividen 2 sen

Gambaran artis bagi projek The Vue @ Monterez yang terletak di Shah Alam. [Foto Kerjaya Prospek]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov - Kerjaya Prospek Group Bhd mencatat keuntungan bersih RM35.6 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), meningkat 23% daripada RM28.8 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan pada suku dalam tinjauan melonjak 39.6% kepada RM362 juta berbanding RM259 juta tahun, manakala pendapatan sesaham (EPS) pada 2.82 sen berbanding 2.28 sen sebelumnya.

 

Kumpulan itu juga mengisytiharkan dividen ketiga bagi FY23 sebanyak 2 sen sesaham yang akan dibayar pada 12 Januari 2024.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Kerjaya Prospek berkata peningkatan pendapatan bagi 3QFY23 didorong terutamanya oleh kemajuan aktiviti kerja pembinaan yang bertambah baik.

 

Bagi segmen pembangunan hartanah pula, kumpulan itu berkata projek The Vue @ Monterez telah menyumbang secara positif kepada keputusan kumpulan.

 

Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), kumpulan itu mencatat keuntungan bersih RM96.4 juta, naik 12% daripada RM86 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatannya pada tempoh berkenaan pula meningkat 15.8% kepada RM968.7 juta berbanding RM836.9 juta sebelumnya.

 

Mengulas mengenai prospek tahun ini, Kerjaya Prospek berkata ia akan terus memantau dan melaksanakan strategi perniagaan bersesuaian tepat pada masanya pada suku terakhir tahun ini untuk menangani cabaran, seperti ketidaktentuan ringgit, kekurangan tenaga mahir dan peningkatan kos buruh, antara lain, yang mungkin berlaku pada operasi dan prestasi kewangan kumpulan.

 

“Kumpulan terus disokong oleh buku pesanan tertunggak sebanyak RM4.7 bilion untuk kontrak pembinaan setakat 30 September 2023.

 

“Melangkah ke hadapan, kumpulan akan memberi tumpuan kepada segmen pembinaannya untuk menjadi pemacu utama pendapatannya.

 

“Walaupun objektif adalah untuk mengembangkan perniagaan utamanya dalam pembinaan, kumpulan berhasrat untuk mengekalkan segmen pembuatannya untuk melengkapkan perniagaan utama,” katanya.

 

Sementara itu, bagi segmen pembangunan hartanah, Kerjaya Prospek berkata projek The Vue @ Monterez telah dilancarkan dan ia berhasrat untuk melancarkan satu lagi projek pembangunan baharu pada suku pertama 2024.

 

Setakat pukul 2:37 petang ini, saham Kerjaya Prospek turun 1 sen atau 0.7% kepada RM1.47 dengan permodalan pasarannya bernilai RM1.86 bilion.  - DagangNews.com