Untung bersih Maxis naik 8.2% pada 2QFY24, isytihar dividen 4 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Maxis naik 8.2% pada 2QFY24, isytihar dividen 4 sen

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Maxis Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM356 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), meningkat 8.2% berbanding suku sama setahun sebelumnya (YoY).

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, syarikat telekomunikasi bersepadu itu memaklumkan pendapatan bagi 2QFY24 berjumlah RM2.59 bilion, susut sedikit berbanding RM2.47 bilion pada 2QFY23.

 

"Syarikat mengisytiharkan dividen interim sebanyak 4 sen sesaham," katanya hari ini.

 

 

Sementara itu, dalam kenyataan medianya, Maxis berkata, pertumbuhan hasil yang kukuh bersama dengan pengurusan kos berdisiplin menyumbang kepada peningkatan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 4.4% YoY ke RM1.05 bilion yang membolehkan untung bersih meningkat 8.2% ke RM356 juta. 

 

"Perniagaan Pengguna Maxis mencatatkan peningkatan dalam hasil perkhidmatan sebanyak 3.7% YoY oleh sebab prestasi pascabayar dan kesalinghubungan kediaman yang lebih kukuh. 

 

"Hasil pascabayar meningkat sebanyak 5.2% YoY, disokong oleh pertumbuhan pelanggan yang sihat sebanyak 8.0% YoY. Maxis terus menawarkan rangkaian product yang diperluas bagi memenuhi keperluan pelanggan dalam semua segmen pasaran. 

 

"Sementara itu, segmen prabayar yang memenuhi keperluan golongan belia mengekalkan daya tahan dengan peningkatan pelanggan sebanyak 2.3% YoY, kerana pelanggan tertarik dengan nilai yang lebih tinggi daripada tawaran, pas internet dan faedah gaya hidup yang diperibadikan," jelasnya.

 

Menurut syarikat itu, bagi segmen kesalinghubungan kediaman, hasil perkhidmatan meningkat sebanyak 9.6% YoY dengan jalur lebar fiber sebagai pemacu pertumbuhan utama. 

 

"Perniagaan Perusahaan Maxis mencapai pertumbuhan dalam hasil perkhidmatan sebanyak 10.8% YoY berikutan prestasi dalam ketersambungan tetap dan penyelesaian digital, dengan kemenangan kontrak daripada pelbagai pelanggan merentas sektor awam, borong, korporat, pasaran pertengahan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," ujarnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, pertumbuhan dalam semua aspek menunjukkan tumpuan tanpa kompromi kepada keperluan sebenar pelanggan dan keazaman untuk menang dalam pasaran. 

 

"Kami telah membina asas yang kukuh dengan mengekalkan disiplin merentas perniagaan dan memanfaatkan teknologi dan kerjasama yang terunggul untuk melaksanakan strategi kami. 

 

"Kecemerlangan rangkaian, operasi dan perkhidmatan, prestasi kuat kami menunjukkan kesediaan Maxis untuk memainkan peranan utama dalam menyokong cita-cita digital Malaysia melalui pelaksanaan rangkaian 5G-Advanced,” katanya. - DagangNews.com