Untung bersih Maxis susut kepada RM287 juta pada 3QFY23 berbanding RM308 juta pada tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Maxis susut kepada RM287 juta pada 3QFY23 berbanding RM308 juta pada tahun lalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Nov - Untung bersih Maxis Berhad bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) susut kepada RM287 juta berbanding RM308 juta setahun lalu kesan penstrukturan semula caj berkaitan dengan inisiatif mengoptimumkan kos bagi meningkatkan kecekapan operasi.

 

Hasil kumpulan itu bagaimanapun meningkat kepada RM2.44 bilion berbanding RM2.4 bilion pada suku sama tahun lalu.

 

Bagi tempoh sembilan bulan sehingga 30 September, untung bersih Maxis naik 1.95% kepada RM937 juta berbanding RM919 juta pada tahun lalu dengan hasil juga meningkat 2.8% kepada RM7.4 bilion daripada RM7.2 bilion setahun sebelumnya.

 

Perbelanjaan modal kumpulan itu pada 3QFY23 adalah 21% lebih rendah iaitu RM215 juta berbanding 3QFY22 manakala hasil perniagaan pengguna telco meningkat sebanyak 2.6% kepada RM1.76 bilion, diimbangi sedikit penguncupan dalam perniagaan perusahaan sebanyak 1.8%.

 

Bagi segmen pascabayarnya, syarikat telekomunikasi itu mengekalkan momentum dengan pertumbuhan pelanggan yang sihat sebanyak 8%, menjadikan jumlah langganan pascabayar kepada 3.53 juta manakala segmen prabayar merosot sebanyak 2.5%, sejajar dengan usaha berterusan bagi memindahkan pelanggan kepada pelan pascabayar.

 

maxis
Goh Seow Eng

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, pihaknya telah menghasilkan pertumbuhan yang stabil pada suku tersebut dalam persekitaran operasi yang sangat kompetitif.

 

"Kami melihat penerimaan yang baik terhadap pelan 5G dan gentian baharu kami yang dilancarkan baru-baru ini. 

 

"Keutamaan kami ialah menumpukan pada kecemerlangan operasi dan kami kekal komited untuk memenuhi semua keperluan sambungan pelanggan," katanya.

 

Beliau berkata, Maxis akan terus mengembangkan kehadiran pasarannya melalui penawaran produk yang dipertingkatkan, strategi pengedaran berkesan dan fokus kepada terhadap perkhidmatan pelanggan yang cemerlang. - DagangNews.com