Untung bersih Nestle meningkat 18.7% kepada RM133.7 juta bagi 3QFY23 disokong pertumbuhan jualan positif | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Nestle meningkat 18.7% kepada RM133.7 juta bagi 3QFY23 disokong pertumbuhan jualan positif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Okt - Untung bersih Nestle (M) Berhad meningkat 18.7% kepada RM133.7 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM112.65 juta pada tahun sebelumnya didorong peningkatan 5.3% dalam hasil kepada RM1.77 bilion daripada RM1.68 bilion.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, pendapatan mereka disokong pertumbuhan jualan positif dan fokus berterusan terhadap kecekapan dalaman selain inisiatif penjimatan bagi mengimbangi kesan harga komoditi yang tidak menentu.

 

Katanya, peningkatan untung bersih itu juga disokong ketiadaan Cukai Makmur yang dikenakan pada tahun lalu.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023, untung bersih Nestle meningkat 5% kepada RM511.77 juta berbanding RM487.48 juta berikutan kenaikan 7% dalam hasil kepada RM5.37 bilion berbanding RM5.02 bilion sebelumnya.

 

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (M) Berhad, Juan Aranols berkata, inovasi adalah penting pada suku tersebut dan kumpulan itu mengembangkan lagi kehadirannya dalam ruang minuman tanpa tenusu yang berkembang pesat dengan pelancaran Nestle Goodnes, dengan dua pilihan iaitu oat dan oat & almond.

 

“Suku tahun ini menyaksikan acara dan aktiviti jenama yang sengit, dengan usaha khas berterusan bagi mendidik masyarakat mengenai kepentingan pemakanan sihat dan gaya hidup aktif.

 

“Kami terus melabur setiap tahun bagi memastikan aset industri berdaya saing dan cekap, selain mengurangkan kesan alam sekitar," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek kumpulan, beliau berkata, walaupun menghadapi persekitaran yang mencabar terutamanyan kelemahan ringgit dan turun naik dalam harga komoditi, mereka akan terus menyediakan penawaran produk yang relevan yang memenuhi pelbagai keperluan rakyat Malaysia.

 

“Selain itu, agenda ESG akan memastikan kami kekal di barisan hadapan bagi membentuk masa depan yang lebih hijau untuk Malaysia,” katanya.- DagangNews.com