Untung bersih OIB suku kedua 2024 susut kepada RM8.57 juta akibat peningkatan kos pentadbiran | DagangNews Skip to main content

Untung bersih OIB suku kedua 2024 susut kepada RM8.57 juta akibat peningkatan kos pentadbiran

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 April - Untung bersih Oriental Interest Berhad (OIB) menyusut hampir 20% kepada RM8.57 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) daripada RM10.54 juta setahun sebelumnya.

 

Pendapatan pemaju hartanah itu bagi suku pelaporan pula berjumlah RM136.7 juta, meningkat sebanyak 13% berbanding suku tahun sebelumnya yang mencatatkan sebanyak RM121.16 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, OIB berkata, peningkatan ini disumbangkan pembinaan am yang menjana pertumbuhan Kumpulan.

 

"Sebaliknya, keuntungan sebelum cukai (PBT) menyusut sebanyak 23% untuk suku perbandingan disebabkan oleh peningkatan dalam perbelanjaan pentadbiran.

 

"Ia akibat daripada kenaikan dan bonus untuk kakitangan serta pengambilan bakat dengan kepakaran yang betul dan pengalaman profesional," katanya hari ini.

 

OIB berkata, secara kumulatif, hasil Kumpulan dan PBT meningkat masing-masing sebanyak 25% dan 11% dengan segmen Pembinaan Am menyumbang ketara kepada hasil manakala segmen Pembangunan Hartanah kekal dominan dalam menjana keuntungan.

 

oib

 

Katanya, pada asas tahun sehingga kini, kedua-dua hasil dan PBT masing-masing meningkat 9% berbanding tempoh kumulatif tahun sebelumnya.

 

"Pada asas perbandingan suku tahunan yang sama, segmen pembinaan am, yang merupakan cabang pembinaan dalaman Kumpulan, mencatatkan lonjakan 155% dan 1280% dalam hasil dan PBT dibantu sebahagian besarnya oleh projek luar.

 

"Prestasi kukuh itu masing-masing menyumbang kepada kenaikan 182% dan 1,940% dalam hasil dan PBT berbanding dengan tempoh tahun sebelumnya sehingga kini. 

 

"Usaha pengurusan untuk membendung kos pentadbiran dan operasi telah menghasilkan margin yang lebih baik," jelasnya.

 

Sementara itu, bagi FY24, Kumpulan optimis mampu mencapai satu lagi keputusan yang postif susulan jualan dan tempahan hartanah.

 

"Memandang ke hadapan, Kumpulan bersedia untuk pertumbuhan dengan jualan hartanah tidak dibilkan kira-kira RM584.4 juta daripada projek sedia ada pada penutupan suku kewangan pelaporan," ujarnya. - DagangNews.com