Untung bersih Opcom melonjak 100% kepada RM6.4 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Opcom melonjak 100% kepada RM6.4 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - Untung bersih pengeluar kabel gentian optik terkemuka di Malaysia, Opcom Holdings Berhad melonjak 100% kepada RM6.4 juta pada FY22 berbanding RM3.2 juta pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu juga mencatatkan lonjakan 30.1% dalam hasil disatukan kepada RM87.2 juta bagi FY22 berbanding RM67.0 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

 

Peningkatan pendapatan itu disumbangkan jualan kabel gentian optik yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak RM6.2 juta atau 17.0% kepada RM42.7 juta pada FY22 berbanding RM36.5 juta yang dicatatkan pada tahun lalu hasil daripada inisiatif kerajaan menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan 5G.

 

Pendapatan daripada perkhidmatan kejuruteraan juga meningkat sebanyak RM5.0 juta atau 65.8% daripada RM7.6 juta pada FY21 kepada RM12.6 juta pada FY22 yang didorong oleh permintaan yang tinggi dalam perkhidmatan pemasangan.

 

Hasil daripada jualan aksesori juga meningkat sebanyak RM4.6 juta atau 97.9% daripada RM4.7 juta pada FY21 kepada RM9.3 juta pada FY22.

 

Kumpulan itu mencatatkan untung kasar RM18.0 juta pada FY22 atau peningkatan sebanyak 26.8% daripada RM14.2 juta yang dicatatkan pada FY21 sejajar dengan peningkatan dalam hasil kami dan kecekapan yang lebih baik dalam pengurusan perolehan dan inventori.

 

Pengerusi kumpulan, Datuk Mazlin Md. Junid berkata, prospek ekonomi adalah positif dengan jangkaan bahawa ekonomi global akan terus bertambah baik.

 

Beliau berkata, kedudukan kewangan kumpulan bertambah baik pada FY22 dan pihaknya menjangkakan mampu menghasilkan kadar pertumbuhan yang kukuh dan mampan dalam masa terdekat

 

"Dalam mengembangkan pasaran 5G, kami yakin dapat mencapai kemajuan pada FY23 kerana kami percaya teknologi 5G adalah pemacu utama aspirasi ekonomi digital Malaysia.

 

"Pada masa sama, kami juga akan melabur dalam perniagaan lain untuk meningkatkan aliran pendapatan kami selain meningkatkan nilai kepada pemegang saham dan mengharapkan perancangan pengembangan akan menyumbang secara positif kepada kumpulan," katanya. - DagangNews.com