Untung bersih OpenSys susut 1.1% kepada RM3.17 juta kesan peningkatan kos operasi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih OpenSys susut 1.1% kepada RM3.17 juta kesan peningkatan kos operasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Nov - Untung bersih OpenSys (M) Berhad susut 1.1% kepada RM3.17 juta suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM3.2 juta pada tahun lalu.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, penurunan itu adalah berpunca daripada peningkatan perbelanjaan operasi, didorong oleh kos kakitangan yang lebih tinggi hasil daripada penambahan tenaga kerja sebagai persediaan untuk projek pemprosesan cek dan kenaikan kos alat ganti dan caj pembaikan.

 

Hasil kumpulan itu bagaimanapun meningkat kepada RM22.4 juta bagi suku tersebut berbanding RM19.8 juta pada 3QFY22.

 

Pertumbuhan itu disebabkan prestasi kukuh daripada segmen perniagaan rumusan dan perkhidmatan yang mencatatkan peningkatan 5% pada 3QFY23 mencecah RM16.7 juta berbanding RM15.91 juta 3QFY22.

 

Hasil daripada jualan perkakasan melonjak 44.8% daripada RM3.98 juta kepada RM5.75 juta.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9MFY23), kumpulan mencapai hasil yang lebih tinggi sebanyak RM60.79 juta, mewakili peningkatan sebanyak 9.6% berbanding RM55.47 juta pada tahun sebelumnya.

 

Perolehan perkakasan menyaksikan pertumbuhan yang ketara sebanyak 14.7% daripada RM8.97 juta kepada RM10.29 juta, didorong jualan modul kereta sampingan deposit cek CRM kepada pelanggan perbankan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif OpenSys, Eric Lim berkata, perkembangan itu dijangka memberi impak yang menggalakkan ke atas perniagaan perkakasan kumpulan.

 

"Segmen perniagaan perkhidmatan juga telah menunjukkan daya tahan, memberikan hasil dan keuntungan konsisten.

 

"Permintaan bagi perniagaan perkhidmatan kumpulan, merangkumi perkhidmatan penyelenggaraan CRM, perkhidmatan pemprosesan cek, kiosk pembayaran bil, perkhidmatan tunai dalam transit dan perkhidmatan pembangunan perisian, dijangka berterusan pada trajektori menaik," katanya. - DagangNews.com