Untung bersih Pantech Group bagi 3QFY24 susut kepada RM21.2 juta berbanding RM34.7 juta pada tahun sebelumnya | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Pantech Group bagi 3QFY24 susut kepada RM21.2 juta berbanding RM34.7 juta pada tahun sebelumnya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jan - Untung bersih Pantech Group Holdings Berhad bagi suku ketiga berakhir 30 November 2023 (3QFY24) susut kepada RM21.2 juta berbanding RM34.7 juta pada suku tahun sama tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan itu bagi suku berkenaan juga susut kepada RM221.4 juta berbanding RM299.9 juta pada 3QFY23.

 

Penyusutan hasil dan untung bersih kumpulan itu adalah disebabkan jualan berkurangan dan perubahan campuran produk untuk bahagian perdagangan.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 November 2023 (9MFY24), untung bersih kumpulan itu menyusut kepada RM76.6 juta berbanding RM92.1 juta manakala hasil syarikat itu juga menyusut kepada RM716.9 juta berbanding RM840.6 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Mengulas mengenai prospek, Pantech Group berkata, pihaknya akan terus mengukuhkan perniagaan sedia ada dan meningkatkan produktiviti operasi selain mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan terasnya di peringkat domestik seta antarabangsa.

 

Selain itu, kumpulan itu juga akan meningkatkan daya saingnya sebagai penyedia rumusan paip, injap dan kelepkapan utama kepada sektor minyak dan gas.

 

"Harga minyak yang stabil berkemungkinan membawa impak positif kepada aktiviti modal berkaitannya seperti meningkatkan perbelanjaan dalam penyelenggaraan kemudahan dan aktiviti menaik taraf dalam industri minyak dan gas.

 

"Bagaimanapun, dari segi ekonomi, kumpulan tetap berhati-hati dengan risiko ekonomi daripada konflik geopolitik yang berterusan, kadar faedah yang tinggi dan inflasi yang mungkin menghalang pertumbuhan ekonomi semasa," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini. - DagangNews.com