Untung bersih Petron Malaysia meningkat kepada RM108.7 juta bagi 1QFY23 didorong jumlah jualan lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Petron Malaysia meningkat kepada RM108.7 juta bagi 1QFY23 didorong jumlah jualan lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Mei - Untung bersih Petron Malaysia Refining & Marketing Berhad meningkat kepada RM108.7 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding RM106.4 juta pada tahun sebelumnya.

 

Dalam amkluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, dengan jumlah jualan yang lebih tinggi, hasil dikekalkan pada RM3.8 bilion walaupun 20% kejatuhan harga kerana penanda aras minyak mentah Brent berada pada purata AS$81 setong pada suku pertama berbanding AS$101 pada 2022.

 

"Harga minyak dan permintaan dikekang oleh kebimbangan kemelesetan global yang memuncak akibat krisis perbankan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. 

 

"Sebahagiannya dipengaruhi oleh sentimen positif mengenai jangkaan pemulihan ekonomi China selepas pandemik," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, walaupun harga komoditi berkurangan, permintaan penapisan serantau kekal kukuh pada suku tersebut.

 

Katanya, margin penapisan yang stabil mengurangkan kesan penurunan harga serta kos pengangkutan yang tinggi dan lain-lain kos import.

 

Kumpulan itu berkata, kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi global yang boleh melembapkan permintaan minyak dan ia muncul semula berikutan potensi krisis perbankan di AS dan Eropah.

 

"Kenaikan kadar faedah yang berterusan untuk mengurangkan inflasi juga menyebabkan sektor perbankan tertekan.

 

"Walaupun terdapat percubaan untuk mengimbangi pasaran minyak dengan OPEC+,  kumpulan itu masih menjangkakan ketidaktentuan pasaran akan menjejaskan keseimbangan permintaan-bekalan minyak yang mungkin menyebabkan kelambatan berterusan sepanjang tahun, walaupun dalam julat sederhana berbanding 2022," katanya. - DagangNews.com