Untung bersih Petronas Chemicals menjunam 73% kepada RM1.7 bilion pada FY23, isytihar dividen 5 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Petronas Chemicals menjunam 73% kepada RM1.7 bilion pada FY23, isytihar dividen 5 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - Keuntungan bersih Petronas Chemicals Group Berhad menjunam 73% kepada RM1.7 bilion pada tahun kewangan 2023 (FY23) daripada RM6.3 bilion tahun sebelumnya.

 

Syarikat pembuatan pelbagai jenis petrokimia itu berkata, penurunan tersebut adalah sejajar dengan kemerosotan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 53% pada RM3.8 bilion berbanding RM8.1 bilion tahun sebelumnya berikutan spread produk yang lebih rendah.

 

Pendapatan kumpulan itu pula menyusut 1% kepada RM28.67 bilion pada tahun semasa berbanding RM28.95 bilion sebelumnya, manakala pendapatan sesaham (EPS) kumpulan pula menurun kepada 21 sen daripada 79 sen, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

 

Petronas Chemicals berkata kadar penggunaan loji lebih rendah pada 85% berbanding 89% tahun sebelumnya kerana aktiviti penyelenggaraan lebih tinggi yang menyebabkan jumlah pengeluaran menurun.

 

Bagi dividen interim kedua, ia mengisytiharkan pembayaran dividen 5 sen sesaham, berjumlah RM400 juta, yang akan diagihkan pada 26 Mac 2024 bagi pegangan saham setakat 13 Mac 2024.

 

Kumpulan itu mengakhiri FY23 dengan keuntungan bersihnya merosot empat kali ganda kepada RM112 juta bagi suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) berbanding RM481 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatannya bagi suku dalam tinjauan pula berjumlah RM7.2 bilion, menguncup 17% daripada RM8.7 bilion tahun sebelumnya.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals, Mazuin Ismail mengulas bahawa selain cabaran pasaran bahan kimia, kumpulan itu menghadapi gangguan di beberapa loji, yang membawa kepada prestasi lebih lemah dalam segmen olefins dan derivatif (O&D) serta baja dan metanol (F&M). 

 

Pada masa yang sama, beliau berkata segmen bahan kimia khusus terus terjejas oleh aktiviti pengurangan stok yang berpanjangan dan persaingan yang semakin sengit daripada pengeluar China. 

 

 

Mazuin Ismail
Mazuin Ismail

 

 

"Cabaran yang dilalui pada 2023 dijangka berterusan sehingga 2024 kerana pemulihan ekonomi dijangka kekal perlahan namun peluang dalam pelbagai sektor masih ada. 

 

“Industri kimia bersifat siklis, justeru kami menjangkakan kitaran menurun ini akan berubah apabila permintaan sejajar dengan bekalan. Kami telah berjaya menyelesaikan kebanyakan cabaran operasi dan turut merancang posisi syarikat secara strategik untuk merebut peluang apabila pasaran bertambah baik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Mengenai projek pertumbuhan pula, Mazuin menyatakan bahawa ujian prestasi sedang dijalankan di fasiliti petrokimia di Pengerang, di samping mencapai operasi komersial di loji baharu yang lain tahun ini.

 

Ia termasuk loji melamin di Gurun, Kedah; loji kimia khusus di Sayakha, India, untuk pengeluaran pentaerythritol dan kalsium format; serta pengembangan loji asid 2-Ethylhexanoic (2-EHA) di Gebeng, Pahang melalui syarikat usaha sama kumpulan, BASF PETRONAS Chemicals. 

 

“Ketiga-tiga fasiliti ini, dengan gabungan kapasiti tahunan yang dianggarkan dalam 130,000 tan setahun, menandakan kejayaan dalam strategi dua serampang kami ke arah mencapai pertumbuhan yang lestari,” tambahnya. - DagangNews.com