Untung bersih Petronas Dagangan naik 21% kepada RM943 juta pada FY23, isytihar dividen 27 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Petronas Dagangan naik 21% kepada RM943 juta pada FY23, isytihar dividen 27 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - Petronas Dagangan Bhd mencatat keuntungan bersih RM943 juta pada tahun kewangan 2023 (FY23), 21.4% lebih tinggi daripada RM776.6 juta dalam tahun sebelumnya.

 

Peruncit gas petroleum cecair itu berkata peningkatan tersebut didorong oleh keuntungan kasar yang lebih tinggi daripada semua segmen dan pendapatan faedah, diimbangi oleh peningkatan perbelanjaan operasi.

 

Ini mendorong kenaikan pendapatan sesaham (EPS) kepada 94.90 sen daripada 78.20 sen tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan pada tahun semasa meningkat sedikit 2% kepada RM37.5 bilion berbanding RM36.7 bilion tahun sebelumnya, dipacu pertumbuhan jumlah jualan sebanyak 8% walaupun purata harga jualan menyusut 6%.

 

Petronas Dagangan mengisytiharkan dividen keempat bagi FY23 sebanyak 27 sen sesaham, berjumlah RM268 juta, yang akan dibayar pada 26 Mac 2024 bagi pegangan saham setakat 12 Mac 2024. Secara keseluruhan, kumpulan itu telah membayar dividen berjumlah 80 sen sesaham pada FY23.

 

Menurut kumpulan itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi segmen runcit pada FY23 meningkat 4% kepada RM792.8 juta daripada RM759 dengan pendapatannya 8% lebih tinggi pada RM18.8 bilion berbanding RM17.4 juta.

 

Segmen komersial pula mencatat lonjakan PBT sebanyak 48% kepada RM516.5 juta berbanding RM349 juta, namun pendapatan segmen menyusut 4% kepada RM18.5 bilion daripada RM19.2 bilion.

 

PBT bagi segmen kedai serbaneka yang merangkumi jualan Kedai Mesra dan Cafe Mesra pula melonjak 73% kepada RM27.2 juta daripada RM15.7 juta sementara pendapatan segmen berkembang 14% kepada RM251 juta berbanding RM220.9 juta.

 

Kumpulan itu mengakhiri FY23 dengan keuntungan bersih RM180.8 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), melonjak 25% daripada RM144 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatannya meningkat 6% kepada RM10 bilion berbanding RM9.5 bilion.

 

Petronas Dagangan berkata ia tetap berwaspada dalam memantau turun naik pasaran dan melaraskan strategi untuk keuntungan mampan dalam pasaran yang dinamik meskipun harga minyak mentah diunjur kira-kira AS$80 setong pada 2024.

 

“Mengenai perniagaan bahan api, kami melihat perubahan kawal selia yang akan berlaku pada tahun ini terutamanya berhubung program subsidi bersasar, yang memberikan cabaran dan peluang kepada kumpulan. 

 

“Namun begitu, kumpulan akan terus menumpukan perhatian kepada usaha baharu untuk pertumbuhan perniagaan bukan bahan api kami,” katanya. - DagangNews.com