Untung bersih Petronas Dagangan suku pertama 2024 susut 25% kepada RM226.04 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Petronas Dagangan suku pertama 2024 susut 25% kepada RM226.04 juta

Stesen Minyak Petronas Ayer Keroh -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Mei - Petronas Dagangan Berhad mencatatkan untung bersih RM226.04 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24), 25.1% lebih rendah berbanding suku sama setahun sebelumnya.

 

Pada 1QFY23, Petronas Dagangan meraih untung bersih RM301.84 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Petronas Dagangan berkata, penyusutan untung disebabkan kos produk  dan perbelanjaan operasi lebih tinggi yang diimbangi oleh peningkatan keuntungan kasar untuk segmen runcit.

 

Kumpulan melaporkan pendapatan sebanyak RM9.39 bilion, naik daripada RM8.65 bilion dalam suku perbandingan dengan pertumbuhan 7% dalam jumlah jualan dan peningkatan 2% dalam harga jualan purata.

 

Lembaga pengarah mengumumkan dividen interim sebanyak 18 sen setiap saham yang akan dibayar pada 19 Jun 2024, dengan tarikh pencatatannya pada 7 Jun 2024.

 

Menurut Petronas Dagangan, pendapatannya di semua tiga segmen perniagaan mencatatkan peningkatan pendapatan tetapi penurunan dalam keuntungan.

 

Mengambil contoh segmen kedai serbaneka, hasil bagi suku tersebut meningkat 9% disumbangkan oleh permintaan yang lebih tinggi untuk Kedai Mesra dan Café Mesra, namun untung sebelum cukai yang dicatatkan ialah RM7.1 juta - susut 62% atau sebanyak RM11.6 juta berbanding suku sama tahun lalu disebabkan oleh perbelanjaan mengurus yang lebih tinggi.

 

Hasil segmen runcit pula meningkat sebanyak RM636.9 juta atau 14%, terutamanya disumbangkan oleh volum jualan yang lebih tinggi sebanyak 13% sejajar dengan peningkatan dalam permintaan tetapi untung sebelum cukai susut 6%.

 

Sementara itu, Petronas Dagangan menjangkakan pertumbuhan berterusan dalam segmen perniagaan runcit dan komersial dengan sokongan daripada aktiviti ekonomi domestik yang kuat dan pemulihan industri penerbangan.

 

Katanya, segmen kedai serbaneka terus memberi tumpuan untuk memperluaskan tawaran dan kempen Café Mesra dan Kedai Mesra semasa musim perayaan pada suku kedua 2024. 

 

"Kumpulan ini kekal teguh untuk mengekalkan prestasinya sepanjang tahun, meningkatkan operasi perniagaan teras dan menggalakkan pertumbuhan selanjutnya, sambil mengawasi dengan berhati-hati kesan potensi yang mungkin timbul dari perubahan peraturan domestik serta cabaran global," ujarnya.- DagangNews.com