Untung bersih Petronas Gas bagi Q3 susut kepada RM580.84 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Petronas Gas bagi Q3 susut kepada RM580.84 juta

 

 

KUALA LUMPUR 22 Nov - Untung bersih Petronas Gas Bhd. bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 susut 1.72% kepada RM580.84 juta berbanding RM591.01 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pendapatan meningkat 1.45% kepada RM1.43 bilion pada suku berkenaan daripada RM1.41 bilion, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Peningkatan pendapatan itu disumbang terutamanya menerusi hasil yang lebih tinggi daripada segmen utiliti dan regasifikasi sejajar dengan jumlah jualan lebih tinggi dan aliran baharu pendapatan daripada pendapatan sampingan gas asli cecair. 

 

Ia menyaksikan pendapatan sesaham menurun kepada 29.35 sen daripada 29.78 sen sejajar dengan keuntungan bersih yang menyusut.

 

Bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 September 2021, untung bersih Petronas Gas meningkat 2% kepada RM1.54 bilion daripada RM1.51 bilion bagi tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan susut 1.23% kepada RM4.15 bilion berbanding RM4.2 bilion.

 

Menurut Petronas Gas, kumpulan merekodkan kerugian pertukaran asing tidak direalisasi sebanyak RM10.4 juta berkaitan aset dan liabiliti dalam denominasi dolar AS pada suku tersebut berbanding keuntungan RM94.3 juta yang dicatatkan bagi suku yang sama tahun sebelumnya.

 

"Ini berlaku di sebalik Petronas Gas melihat keuntungan kasarnya lebih tinggi sebanyak 7.7% atau RM56.9 juta dengan sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen regasifikasi semula disebabkan kos operasi lebih rendah, terutama berkaitan penggunaan gas dalaman dan utiliti," jelasnya.

 

Mengenai prospek kumpulan, Petronas Gas berkata, prestasi tahun kewangan 2021 dijangka kekal kukuh meskipun pandemik COVID-19 masih berterusan. 

 

"Ini memandangkan model perniagaan dan kontrak jangka panjang kumpulan akan memastikan aliran pendapatan yang stabil terutama segmen perniagaan pemprosesan gas, pengangkutan dan regasifikasi," katanya. - DagangNews.com