Untung bersih Petronas Gas melonjak 22% kepada RM485.4 juta bagi 2QFY23, isytihar dividen 16 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Petronas Gas melonjak 22% kepada RM485.4 juta bagi 2QFY23, isytihar dividen 16 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Keuntungan bersih Petronas Gas Bhd melonjak 22% kepada RM485.4 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) daripada RM396.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu, didorong keuntungan syarikat usaha sama dan pendapatan faedah daripada pelaburan.

 

Di samping itu, keuntungannya turut dipacu oleh pendedahan yang lebih rendah kepada pergerakan pertukaran mata wang asing berikutan penyelesaian awal liabiliti pajakan dolar Amerika Syarikat (USD) untuk unit simpanan terapung di terminal pengegasan semula gas asli cecair (LNG) di Sungai Udang, Melaka (RGTSU), katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Pendapatan kumpulan bagi suku dalam tinjauan turut meningkat 8.8% kepada RM1.64 bilion daripada RM1.5 bilion tahun lalu, dipacu oleh pendapatan daripada segmen utiliti berikutan harga produk lebih tinggi.

 

Jelasnya, sumbangan segmen utiliti adalah sejajar dengan peningkatan serta margin lebih kukuh disebabkan keseimbangan pelepasan kos kepada pelanggan, yang mengurangkan pendedahan perniagaan kepada harga gas yang tidak stabil.

 

Petronas Gas mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 16 sen sesaham berjumlah RM316.6 juta yang akan dibayar pada 22 September.

 

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), Petronas Gas mencatatkan keuntungan bersih RM909.55 juta, meningkat 12.7% daripada RM807 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Manakala pendapatan dalam tempoh berkenaan juga meningkat 11.8% kepada RM3.31 bilion berbanding RM2.96 bilion tahun lalu.

 

Mengulas prestasi kumpulan pada 1HYFY23, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Aziz Othman berkata ia menekankan daya tahan perniagaan kumpulan dalam mengekalkan prestasi ketika keadaan pasaran mencabar.

 

 

Abdul Aziz Othman
Abdul Aziz Othman

 

 

Tambahnya, ia juga mencerminkan usaha berterusan kumpulan dalam meningkatkan kecekapan operasi dan mengoptimumkan kos dengan menumpukan kepada keselamatan, kebolehpercayaan dan kos operasi agar pendapatan mampan dengan margin yang sihat, sambil meneroka peluang pertumbuhan dan penciptaan nilai.

 

“Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) Bahagian 1 yang dilancarkan baru-baru ini mengesahkan kepentingan perniagaan gas asli untuk Malaysia.

 

“Projek dan inisiatif pemangkin yang dikenal pasti menyediakan beberapa peluang untuk Petronas Gas mengembangkan portfolio hijau, yang merangkumi tenaga boleh diperbaharui dan penangkapan dan penyimpanan karbon, menyokong sasaran kami untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050,” tambah Abdul Aziz. - DagangNews.com