Untung bersih Petronas Gas naik 37% kepada RM591.01 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Petronas Gas naik 37% kepada RM591.01 juta

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Keuntungan bersih Petronas Gas Berhad melonjak sehingga 36.94% kepada RM591.01 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2020 berbanding RM431.59 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu. 

 
Bagi tempoh itu juga, perolehan syarikat turut meningkat 5.2% atau RM69.4 juta kepada RM1.41 bilion berbanding RM1.34 bilion bagi tempoh sama 2019 didorong oleh peningkatan pendapatan dalam segmen regasifikasi dan utiliti. 


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas, Kamal Bahrin Ahmad berkata, syarikat menjangkakan prestasinya bagi keseluruhan 2020 kekal stabil dibantu oleh operasi cekap dan pelan komersial jangka panjang. 


"Kami berhasrat untuk terus memainkan peranan dalam perkhidmatan bersepadu Petronas bagi menyediakan penyelesaian tenaga bersih boleh dipercayai dan kos yang kompetitif kepada pelanggan. 


"Malah, ini juga sejajar dengan komitmen kumpulan terhadap kelestarian," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Petronas Gas berkata, segmen pemprosesan gas menyaksikan kilangnya mengekalkan prestasi operasi bertaraf dunia apabila mencatatkan kebolehpercayaan hampir 99%. 


Pendapatan segmen tersebut meningkat kepada RM427 juta berbanding suku sebelumnya dengan hasilnya naik 26% atau RM51.1 juta berikutan kos operasi lebih rendah ekoran penurunan perbelanjaan susut nilai dan kos penyelenggaraan lebih rendah. 


Sementara itu, segmen penghantaran gas syarikat tersebut pula terus merekodkan kebolehpercayaan hampir 100% dengan hasil segmen tersebut naik 12.2% atau RM24.5 juta disebabkan penggunaan gas dalaman rendah dan kos operasi lain menurun disebabkan Pangkalan Aset Terkawal (RAB) lebih rendah. 


Segmen regasifikasi juga kukuh apabila terminal regasifikasi gas asli cecair (LNG) di Sungai Udang, Melaka dan Pengerang, Johor turut mengekalkan prestasi kebolehpercayaan kukuh iaitu hampir 100%. 


Hasil segmen utiliti pula naik 321.8% atau RM35.4 juta sejajar dengan peningkatan pendapatan disokong oleh perbelanjaan susut nilai yang rendah. - DagangNews.com