Untung bersih Ramssol meningkat dua kali ganda kepada RM2.1 juta pada 1QFY23 didorong kos pemasaran yang rendah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Ramssol meningkat dua kali ganda kepada RM2.1 juta pada 1QFY23 didorong kos pemasaran yang rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 April - Untung bersih Ramssol Group Berhad meningkat dua kali ganda kepada RM2.1 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding RM1.04 juta yang dicatatkan setahun lalu, berikutan perbelanjaan jualan dan pemasaran yang lebih rendah.

 

Pendapatan sesaham meningkat kepada 0.86 sen daripada 0.56 sen, kata syarikat tersenarai Pasaran ACE itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng berkata, hasil kumpulan bagaimanapun menyusut 22.97% kepada RM6.45 juta daripada RM8.38 juta, terutamanya disebabkan oleh jualan yang lebih rendah daripada penyediaan penyelesaian pengurusan modal insan (HCM), penyelesaian pengurusan pelajar dan aplikasi teknologi HCM di Malaysia.

 

"Walaupun menghadapi cabaran dalam landskap ekonomi global, kami berbesar hati untuk melaporkan permulaan tahun yang memberangsangkan, kerana kami mengekalkan daya tahan kewangan dan usaha pengoptimuman kos untuk terus memberikan keuntungan yang lebih baik,” katanya.

 

Melangkah ke hadapan, beliau berkata, kumpulan akan menumpukan pada mengembangkan penawarannya dan mengukuhkan perkongsian yang akan memacu pertumbuhan hasil kumpulan.

 

“Dengan selesainya pengambilalihan Infinite Loop Media Sdn. Bhd., kami yakin dapat melaksanakan strategi pertumbuhan kami,” katanya.

 

Terdahulu, kumpulan itu menerusi anak syarikat milik penuhnya RAMS Solutions Sdn. Bhd., memeterai perjanjian dengan Axiata Digital Capital Sdn. Bhd., cabang teknologi kewangan Axiata Group Berhad, untuk mempromosikan dan memasarkan produk pembiayaan Boost Credit. - DagangNews.com