Untung bersih Ranhill Utilities melonjak 51% kepada RM11.1 juta didorong peningkatan sumbangan segmen perniagaan | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Ranhill Utilities melonjak 51% kepada RM11.1 juta didorong peningkatan sumbangan segmen perniagaan

KUALA LUMPUR 30 Mei - Keuntungan bersih Ranhill Utilities Bhd melonjak kira-kira 51% kepada RM11.1 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), daripada RM7.38 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, kumpulan itu menjelaskan bahawa keuntungan tersebut didorong oleh peningkatan pendapatan daripada tiga segmen perniagaan utamanya.

 

Pendapatan syarikat dalam suku berakhir 31 Mac 2023 itu juga meningkat lebih 32% kepada RM520 juta berbanding rekod RM393 juta pada 1QFY22 disebabkan sumbangan yang lebih tinggi daripada anak syarikat tenaga dan kimianya, Ranhill Worley Sdn Bhd, dan pengiktirafan pendapatan lebih tinggi oleh anak syarikat bekalan air, RanhillSAJ Sdn Bhd susulan kenaikan tarif dan permintaan tinggi untuk elektrik.

 

Di samping itu, pendapatan sesaham (EPS) meningkat kepada 0.86 sen daripada 0.57 sen.

 

Ranhill mengisytiharkan dividen sebanyak 1.5 sen sesaham yang akan dibayar pada 30 Jun.

 

Menurut kumpulan itu, segmen persekitarannya sedang giat meneroka inisiatif untuk mengembangkan operasi bekalan air ke negeri lain melalui model Asset-Light, seperti yang dinyatakan dalam Akta Industri Bekalan Air 2006.

 

Sementara itu, segmen tenaga menantikan penyiapan talian Transmisi Timur-Barat Sabah pada 2023 yang akan membolehkan tenaga elektrik tambahan sehingga 400 megawatt (MW) dihantar dari pantai barat Sabah ke pantai timur.

 

“Dengan kapasiti terpasang 380MW di Pantai Barat Sabah, kami melihat prospek secara positif untuk mengeksport elektrik ke pantai Timur,” kata kumpulan itu.

 

Bagi perkhidmatan kejuruteraan, kumpulan itu berkata ia akan terus mencapai sasaran 3,000 megaliter sehari (MLD) untuk air, air sisa dan kapasiti air rawatan tebus guna menjelang 2025 dengan 400 MLD daripada operasi antarabangsanya.

 

"Kami juga akan terus mengejar sasaran tenaga agar mempunyai kapasiti penjanaan 1,000MW dan kapasiti boleh diperbaharui 300MW," katanya.

 

Pagi ini, saham Ranhill dibuka pada 60 sen, menokok 0.5 sen atau 0.8% dengan modal pasaran sebanyak RM777.6 juta. -DagangNews.com