Untung bersih Ranhill Utilities meningkat 9.7% kepada RM10.2 juta dalam 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Ranhill Utilities meningkat 9.7% kepada RM10.2 juta dalam 3QFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov - Ranhill Utilities Berhad mencatat keuntungan bersih RM10.2 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), meningkat 9.7% daripada RM9.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan pada suku dalam tinjauan melonjak 40% kepada RM609 juta berbanding RM434 juta tahun lalu, manakala pendapatan sesaham (EPS) menokok kepada 0.79 sen daripada 0.72 sen.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Ranhil berkata peningkatan pendapatan bagi 3QFY23 terutamanya disebabkan pengiktirafan lebih tinggi daripada pendapatan air RanhillSAJ susulan kenaikan tarif bukan domestik.

 

Di samping itu, kumpulan itu juga memperoleh pendapatan lebih tinggi daripada Ranhill Worley Sdn Bhd (RWSB), pengiktirafan kemajuan pembinaan Ranhill Solar I (RSI) dan pengiktirafan lebih tinggi bagi pengeluaran elektrik bersih (NEO) dan faktor kapasiti yang dilaporkan dalam Ranhill Sabah Energy I Sdn Bhd (RSEI) (dahulunya dikenali sebagai Ranhill Powertron I Sdn Bhd [RPI]).

 

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2023 (9MFY23), keuntungan bersih kumpulan itu melonjak 40.9% kepada RM33.4 juta berbanding RM23.7 pada tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan kumpulan pula berjumlah RM1.7 bilion dalam 9MFY23, meningkat 34% daripada RM1.29 bilion tahun lalu.

 

Mengulas mengenai prospek syarikat, Ranhill berkata ia menantikan penyiapan Penghantaran Timur-Barat Sabah pada 2023, di mana talian penghantaran tersebut akan membolehkan sehingga 400 MW tenaga elektrik tambahan dihantar dari Pantai Barat Sabah ke Pantai Timur.

 

“Dengan kapasiti terpasang 380MW di Pantai Barat Sabah kami melihat secara positif prospek untuk mengeksport tenaga elektrik ke pantai timur Sabah,” katanya.

 

Kumpulan itu juga optimis dengan kejayaan tender solar berskala besar empat (LSS4) Mentari yang menjadi usaha niaga pertama Ranhill dalam pemilikan aset projek solar berskala besar 50MWac.

 

Sementara itu, bagi perkhidmatan kejuruteraan, Ranhill menjangkakan bahawa masih terdapat keperluan untuk hidrokarbon menjadi sebahagian daripada campuran tenaga meskipun terdapat unjuran paling agresif bagi peralihan tenaga boleh diperbaharui.

 

Oleh itu, bergerak ke hadapan, Ranhill berkata penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) akan menjadi bahagian penting dalam peralihan global kepada pelepasan karbon sifar bersih.

 

Di samping itu, anak syarikatnya, Ranhill Worley komited untuk bekerjasama dengan pelanggan untuk mengemudi proses peralihan tenaga mereka untuk menyahkarbon pengekstrakan hidrokarbon.

 

“Ranhill akan terus mengorak langkah merealisasikan sasarannya untuk mencapai 3,000 juta liter sehari (MLD) merangkumi air, air sisa dan kapasiti rawatan air tebus guna menjelang 2027 dan terus mengejar sasaran tenaga kami untuk mempunyai kapasiti penjanaan 1,000 MW (megawatt),” tambahnya. - DagangNews.com