Untung bersih RCE Capital bagi 3QFY24 susut kepada RM34.6 juta kesan perbelanjaan operasi yang tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih RCE Capital bagi 3QFY24 susut kepada RM34.6 juta kesan perbelanjaan operasi yang tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Feb - Untung bersih RCE Capital Bhd bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2023 (3QFY24) menyusut kepada RM34.6 juta berbanding RM35.2 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya kesan daripada perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil yang dicatatkan pada suku tersebut adalah lebih tinggi sebanyak RM87.4 juta berbanding 3QFY23 didorong keuntungan serta pendapatan yuran yang lebih baik.

 

Katanya, hasil yang lebih tinggi dan pendapatan lain menghasilkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM45.8 juta selepas mengambil kira peruntukan yang lebih baik bagi kerugian rosot nilai yang belum terima dan perbelanjaan operasi.

 

"Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2023 (9MFY24), hasil kumpulan meningkat kepada RM259.2 juta disumbangkan pendapatan keuntungan dan yuran yang lebih tinggi.

 

"Kumpulan itu juga mencatatkan peningkatan untung bersih kepada RM109.7 juta berbanding RM104 juta bagi tempoh 9MFY23," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek mereka, kumpulan itu berkata, berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam arah aliran menaik, momentum perbelanjaan pengguna dijangka meningkat, sekali gus berpotensi diterjemahkan kepada permintaan yang lebih tinggi untuk pembiayaan.

 

Kumpulan percaya mereka akan menamatkan tahaun kewangan berakhir 31 Mac 2024 dengan keputusan positif.

 

"Selain memperkenalkan lebih banyak kempen jualan bagi meningkatkan pengeluaran dan mengembangkan asas pelanggan, kumpulan itu komited menambah baik saluran penyampaian dengan inisiatif pendigitalan berterusan dalam memastikan kemampanan operasi perniagaannya," katanya. - DagangNews.com