Untung bersih Samaiden merosot lebih 54% kepada RM1.9 juta dalam 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Samaiden merosot lebih 54% kepada RM1.9 juta dalam 3QFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mei - Keuntungan bersih Samaiden Group Berhad telah merosot 54.6% kepada RM1.9 juta dalam suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) berbanding RM4.2 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan bagi suku ini telah meningkat sedikit 1.7% kepada RM44.6 juta daripada RM43.8 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2022 (3QFY23).

 

Menurut Samaiden, keuntungannya telah merosot disebabkan oleh beberapa faktor iaitu margin lebih rendah untuk projek yang sedang dijalankan, peningkatan kos pekerja bagi menampung pengembangan operasi, serta yuran profesional dan perbelanjaan penyenaraian yang ditanggung berikutan pemindahan penyenaraian kumpulan daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama yang selesai pada 31 Mac 2023.

 

Bagi suku dalam tinjauan, perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) menyumbang kepada kira-kira 99.96% daripada pendapatan Samaiden manakala penjualan tenaga elektrik yang dijana melalui kemudahan solar fotovoltaik sendiri menyumbang kepada bakinya.

 

Secara kumulatif, keuntungan bersih Samaiden dalam sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (9MFY23) telah berkurang 18% kepada RM6.9 juta berbanding RM8.5 juta untuk tempoh yang sama bagi tahun kewangan 2022.

 

Manakala pendapatan kumpulan pada 9MFY23 meningkat 29% kepada RM125.6 juta daripada RM97 juta dalam tahun sebelumnya.

 

Jumlah buku pesanan terkumpul Samaiden berjumlah RM245.55 juta pada 31 Mac 2023 dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan keuntungan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir. Chow Pui Hee berkata gabungan inisiatif dan langkah kerajaan serta keperluan sektor swasta untuk mengurangkan kos tenaga dan menerima pakai komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan terus menyokong industri tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

 

Ir. Chow Pui Hee
Ir. Chow Pui Hee

 

 

Beliau berkata kumpulan itu percaya pelan peralihan tenaga Malaysia dan komitmen ESG seperti yang diumumkan di bawah Dasar Tenaga Negara 2022-2040 akan memberi impak positif kepada ekonomi melalui penciptaan pekerjaan bernilai tinggi dan pemupukan industri teknologi hijau.

 

“Dengan mengambil kira kos operasi dan trend pasaran, inisiatif ini memberi kami peluang menyediakan perkhidmatan EPCC yang komprehensif untuk sistem tenaga bersih dan loji kuasa.

 

“Komitmen kami untuk memanfaatkan kecekapan teras kumpulan dan pengalaman luas dalam menyediakan perkhidmatan hujung ke hujung dalam projek tenaga bersih membolehkan kami terus memenuhi keperluan pelanggan yang berubah-ubah sambil memberi impak positif kepada alam sekitar,” tambah beliau dalam satu kenyataan hari ini. -DagangNews.com