KUALA LUMPUR 20 Jun - Keuntungan bersih Scientex Berhad melonjak 24% kepada RM109.8 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) daripada RM88.3 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, didorong oleh permintaan kukuh untuk rumah mampu milik.
Sementara itu, pendapatannya dalam suku berakhir 30 April itu meningkat secara mendatar pada 0.3% kepada RM997 juta berbanding RM993.8 juta sebelumnya, memandangkan prestasi kukuh segmen hartanah mengimbangi cabaran yang dihadapi oleh segmen pembungkusan disebabkan permintaan lebih perlahan di peringkat global, menyerlahkan daya tahan model teras berkembarnya.
Jelasnya, pendapatan segmen pembungkusan pada suku tersebut merosot 15% kepada RM635.4 juta berbanding RM749.7 juta sebelumnya.
“Bagaimanapun, segmen hartanah menunjukkan prestasi lebih baik dengan peningkatan ketara pendapatan sebanyak 48.1% kepada RM361.7 juta daripada RM244.2 juta sebelumnya, disumbangkan oleh pertumbuhan pengebilan kemajuan daripada projek yang sedang dijalankan di Kundang, Tasek Gelugor dan Pulai, serta permintaan kukuh untuk pelancaran baharu di Kundang, Seremban dan Durian Tunggal,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, pendapatan sesaham (EPS) naik kepada 7.08 sen daripada 5.7 sen dan syarikat itu mengisytiharkan dividen interim 5 sen sesaham yang akan dibayar pada 21 Julai 2023.
Secara kumulatif, keuntungan bersih kumpulan itu dalam sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 melonjak 13.5% kepada RM323 juta dengan pendapatan catat kenaikan 4.6% kepada RM3 bilion, berbanding keuntungan bersih RM285 juta dan pendapatan RM2.9 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pada 30 April 2023, kumpulan itu berkata projek pembangunan yang sedang dijalankan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM3.7 bilion, terdiri terutamanya daripada hartanah kediaman bertanah mampu milik.
Mengulas tentang prospek kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Lim Peng Jin berkata mereka berhati-hati optimistik terhadap prestasinya dalam tahun kewangan semasa, walaupun permintaan global untuk produknya boleh terjejas oleh permintaan yang lebih lemah dalam tempoh terdekat.

"Bagi segmen hartanah, kami menjangkakan permintaan kukuh untuk hartanah mampu milik kami dan akan terus melancarkan fasa pembangunan baharu, serta memanfaatkan penjenamaan kami, harga berpatutan dan lokasi strategik.
"Dengan proses pantas bagi mendapatkan kelulusan pihak berkuasa dan mengurangkan kekurangan buruh, kami menjangkakan kadar pertumbuhan segmen ini kekal teguh," tambah beliau.
Menurut Peng Jin, kumpulan itu akan mengekalkan strategi untuk mengoptimumkan penggunaan tanah, mengurangkan kos yang lebih tinggi dan meningkatkan kecekapan.
Pada pukul 2:45 petang ini, saham Scientex didagankan pada RM3.28, susut 1 sen atau 0.3% dengan modal pasaran berjumlah RM5.09 bilion. -DagangNews.com







