Untung bersih Scientex Packaging bagi FY24 susut 9.4% kepada RM32.55 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Scientex Packaging bagi FY24 susut 9.4% kepada RM32.55 juta

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Sept - Scientex Packaging (Ayer Keroh) Bhd mencatatkan untung bersih sebanyak RM32.55 juta bagi tahun kewangan 2024 yang berakhir 31 Julai lalu.

 

Jumlah tersebut merupakan penyusutan 9.4% berbanding tahun kewangan 2023 (FY23) yang berjumlah RM35.94 juta.

 

Pendapatan Kumpulan bagi FY24 juga merosot 7.9% daripada RM774.78 juta pada FY23 kepada RM713.51 juta, katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

"Penurunan ini disebabkan oleh pengurangan permintaan di pasaran eksport dan domestik. Pendapatan domestik menyumbang RM381.90 juta atau 53.5% daripada jumlah pendapatan kumpulan, manakala eksport menyumbang RM331.61 juta atau 46.5% daripada jumlah pendapatan kumpulan," jelasnya.

 

Sementara itu, Scientex Packaging memperoleh untung bersih RM6.8 juta pada suku keempat berakhir 31 Julai 2024 yang merupakan peningkatan ketara daripada keuntungan bersih RM149,000 setahun lalu.

 

Menurut pemakluman itu, peningkatan ini bagaimanapun adalah akibat daripada penyusut nilai goodwill sebanyak RM22.71 juta yang berkaitan dengan operasi di Myanmar pada suku tahun lalu.

 

"Jika mengabaikan kesan penyusut nilai goodwill pada suku yang sama tahun sebelumnya, keuntungan operasi suku semasa menurun sebanyak 34% terutamanya disebabkan oleh persaingan pasaran yang meningkat, kenaikan kos pengangkutan, dan perubahan dalam campuran produk," kata kumpulan itu.

 

Pada suku semasa, pendapatan sesaham kumpulan meningkat kepada 1.94 sen daripada 0.04 sen sebelum ini.

 

Sementara itu, pendapatan Scientex Packaging pada suku keempat FY24 (4QFY24) menurun kepada RM181.84 juta berbanding RM185.32 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Kumpulan telah mengisytiharkan dividen akhir sebanyak lima sen sesaham, yang akan dikeluarkan pada 5 Januari 2025, dan dibayar pada 14 Januari 2025, menjadikan jumlah pembayaran dividen untuk tahun penuh sebanyak 7.5 sen sesaham.

 

Scientex Packaging dalam pada itu memaklumkan komitmennya untuk meningkatkan daya saing dan memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu bagi mencapai prestasi yang mampan dalam tahun kewangan akan datang. - DagangNews.com