Untung bersih Sime Darby melonjak kepada RM2.29 bilion bagi 2QFY24 selepas lupus Ramsay Sime Darby Health Care | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Sime Darby melonjak kepada RM2.29 bilion bagi 2QFY24 selepas lupus Ramsay Sime Darby Health Care

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Keuntungan bersih Sime Darby Bhd melonjak enam kali ganda kepada RM2.29 bilion pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) berbanding RM389 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan untung bersih tersebut didorong oleh keuntungan RM2 bilion daripada penjualan Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) pada Disember 2023.

 

Keuntungan bersih teras bagi suku tersebut, tidak termasuk keuntungan daripada penjualan RSDH berjumlah RM269 juta, peningkatan 7.2% daripada suku yang sama tahun lepas.

 

Sementara itu, pendapatan konglomerat itu pada suku dalam tinjauan telah meningkat 37.7% kepada RM15.55 bilion daripada RM11.29 bilion setahun lalu.

 

Pendapatan sesaham (EPS) Sime Darby menokok kepada 33.6 sen daripada 5.7 sen sebelumnya.

 

Ia turut mengisytiharkan dividen 3 sen sesaham yang akan dibayar pada 27 Mac ini.

 

Secara kumulatif, keuntungan bersih Sime Darby dalam tempoh enam bulan tahun kewangan 2024 (6MFY24) melonjak kepada RM2.88 bilion daripada RM596 juta, didorong pendapatan sebanyak RM29.53 bilion, berbanding RM23.47 bilion bagi tempoh sama sebelumnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata penyelesaian penjualan RSDH dan langkah kumpulan itu keluar sepenuhnya daripada perniagaan penjagaan kesihatan akan membolehkannya memberi tumpuan kepada pertumbuhan dua perniagaan utamanya, iaitu perindustrian dan motor.

 

“Kami juga menyelesaikan pengambilalihan UMW. Kami sangat teruja bahawa melalui pengambilalihan ini, kami akan menambah dua jenama pasaran besar-besaran terkemuka — Toyota dan Perodua — ke dalam portfolio kami.

 

"Ini akan membantu meluaskan pendapatan kami dan membuka kunci nilai selanjutnya untuk kumpulan," katanya.

 

Mengenai prospek Sime Darby, Jeffri berkata prestasi kukuh oleh operasi Malaysia dan Singapura membantu mengurangkan kesan margin kenderaan yang rendah di China.

 

“Secara keseluruhan, perniagaan kami menunjukkan prestasi yang baik. Dari segi perindustrian, kami melihat pulangan baik daripada pengambilalihan kami baru-baru ini bagi (syarikat Australia) Onsite dan Cavpower, yang menyumbang kepada pertumbuhan kukuh bahagian itu pada suku dalam tinjauan.

 

"Kami yakin bahawa peningkatan keuntungan daripada operasi di Australia akan mengukuhkan lagi perniagaan perindustrian kami dan terus menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan," katanya.

 

Pada pukul 4:31 petang ini, saham Sime Darby telah menurun 2 sen atau 0.8% kepada RM2.61 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM17.8 bilion.  - DagangNews.com