Untung bersih Sime Darby Plantation menjunam 90% kepada RM69 juta bagi 1QFY23 akibat harga minyak sawit mentah, kadar faedah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Sime Darby Plantation menjunam 90% kepada RM69 juta bagi 1QFY23 akibat harga minyak sawit mentah, kadar faedah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mei - Keuntungan bersih Sime Darby Plantation Berhad menjunam 90% kepada RM69 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) daripada RM718 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan kumpulan suku ini juga merosot 7% kepada RM4.07 bilion berbanding RM4.38 bilion pada suku pertama 2022.

 

Kemerosotan keuntungan kumpulan telah diheret oleh purata harga direalisasi bagi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung kelapa sawit lebih rendah tahun ke tahun (YoY) serta pengeluaran buah tanda segar (BTS) rendah dan kos kewangan lebih tinggi disebabkan peningkatan kadar faedah.

 

“Purata harga MSM direalisasi pada 1QFY23 adalah RM3,887 setiap tan metrik (MT), menyusut 13% tahun ke tahun (YoY) berbanding RM4,465 setiap MT tahun sebelumnya, manakala purata harga isirung kelapa sawit direalisasikan menurun dengan ketara sebanyak 56% YoY kepada RM1,794 setiap MT daripada RM4,105 setiap MT pada tempoh sebelumnya,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Pengeluaran BTS keseluruhan kumpulan merosot sebanyak 5% YoY kerana operasi huluannya di Malaysia terus terjejas oleh kesan berlarutan kekurangan buruh yang berpanjangan mengakibatkan penurunan 11%, manakala kedua-dua operasinya di Indonesia dan Papua New Guinea mencatatkan pertumbuhan 1%.

 

Sementara itu, operasi hiliran kumpulan, Sime Darby Oils (SDO), berhadapan suku yang mencabar dengan rekod keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) sebanyak RM68 juta, berbanding RM161 juta pada tahun sebelumnya, di mana operasinya di Asia Pasifik mempunyai volum jualan dan margin yang lebih rendah.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation, Mohamad Helmy Othman Basha berkata syarikat itu akan memberi keutamaan kepada pemulihan perniagaan huluan di Malaysia dan inisiatif berani untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja manual dan asing melalui mekanisasi, automasi dan pendigitalan ladang.

 

 

Mohamad Helmy Othman Basha
Mohamad Helmy Othman Basha

 

 

“Usaha ini akan menjadi asas kepada operasi yang lebih mampan, produktif dan cekap untuk kami pada masa hadapan, sambil kami terus memulihkan produktiviti dan mencipta semula operasi perladangan pada tahun kewangan ini,” tambahnya.

 

Mengulas berkenaan prospek FY23, kumpulan itu berkata harga MSM dijangka didagangkan pada paras semasa dalam tempoh pendek dengan daya saing harga bergantung kepada beberapa faktor, termasuk prospek bekalan minyak pesaing serta dasar eksport minyak sawit Indonesia.

 

Cabaran makroekonomi dan geopolitik, termasuk kebimbangan pertumbuhan perlahan ekonomi dan kadar faedah yang tinggi boleh mengehadkan potensi kenaikan harga komoditi.

 

Selain itu, kekurangan permintaan dan lebihan stok simpanan yang tinggi di negara pengimport utama boleh menimbulkan cabaran selanjutnya kepada harga MSM tahun ini. -DagangNews.com