Untung bersih Solarvest melonjak 56.5% kepada RM6.7 juta bagi 1QFY24 didorong kemajuan projek LSS4 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Solarvest melonjak 56.5% kepada RM6.7 juta bagi 1QFY24 didorong kemajuan projek LSS4

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Untung bersih Solarvest Holdings Berhad melonjak sebanyak 56.5% kepada RM6.7 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2023 (1QFY24), berbanding RM4.28 juta setahun sebelumnya.

 

Keuntungan itu disumbangkan oleh hasil yang lebih tinggi daripada kemajuan projek Solar Skala Besar 4 (LSS4).

 

Kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM143.4 juta bagi suku tersebut, menandakan lonjakan 172.3% daripada RM52.7 juta yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya berakhir 30 Jun 2022 (1QFY23).

 

Hasil daripada segmen kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi segmen penyelesaian tenaga suria melonjak sebanyak 176.8% kepada RM140.7 juta pada 1QFY24, membentuk 98.1% daripada hasil.

 

Baki 1.9% atau RM2.7 juta diperoleh daripada operasi dan penyelenggaraan (O&M) sistem tenaga suria, jualan elektrik melalui tenaga suria dan aktiviti lain.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Davis Chong Chun Shiong berkata, pihaknya komited untuk memajukan rantaian nilai sebagai pembangun tenaga bersih dan mengembangkan lagi portfolio pemilikan aset.

 

Beliau berkata, ketiga-tiga aset LSS4 berjumlah 67.3 MWp berada di landasan untuk pentauliahan menjelang FY24 meletakkan kumpulan itu untuk menjana jualan elektrik tahunan sebanyak RM9 juta dengan keuntungan bersih selama 25 tahun selepas pentauliahan.

 

Katanya, perkembangan terkini Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) juga memberi petanda yang baik untuk pihaknya.

 

"Kumpulan kami mempunyai peluang projek berjumlah 250 MWp melalui CGPP, kira-kira 50 MWp adalah di bawah pemilikan penuh oleh Solarvest.

 

"Dengan pentauliahan berjadual pada 2025 dan perjanjian pembelian kuasa 21 tahun (PPA), loji solar CGPP kami akan terus menyumbang kepada pendapatan berulang kami dalam jangka panjang.

 

"Terutamanya, buku pesanan semasa kami yang belum dibilkan sebanyak RM457.0 juta juga dijangka akan terus diperkukuh oleh projek EPCC di bawah rangka kerja CGPP," katanya.

 

Beliau berkata, di bawah program pembiayaan untuk pengguna komersial dan industri yang dikenali sebagai Powervest, pihaknya telah memperoleh pelbagai PPA korporat dengan kapasiti terkumpul 83.6MWp.

 

Katanya, ia diunjurkan meningkatkan pendapatan berulang tahunan sebanyak RM37 juta apabila siap sepenuhnya dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.- DagangNews.com