Untung bersih Supercomnet susut kepada RM7.4 juta kesan permintaan rendah bagi segmen industri dan automotif | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Supercomnet susut kepada RM7.4 juta kesan permintaan rendah bagi segmen industri dan automotif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Nov - Untung bersih Supercomnet Technologies Berhad menyusut sebanyak 26.74% kepada RM7.4 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM10.1 juta setahun lalu kesan daripada hasil yang rendah.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perolehan suku tahunan susut 27.93% kepada RM32.53 juta daripada RM45.14 juta pada 3QFY22 disebabkan kadar tempahan yang lebih rendah daripada segmen industri dan penurunan sementara dalam permintaan bagi segmen automotif.
 

Pendapatan juga dipengaruhi oleh tarif elektrik yang lebih tinggi dan pengiktirafan perbelanjaan nilai saksama yang berkaitan dengan skim opsyen saham pekerja (ESOS) kumpulan sebanyak RM795,000, serta penurunan dalam keuntungan tukaran asing bersih sebanyak RM1.14 juta.

 

Bagi sembilan bulan FY23 keuntungan bersih Supercomnet susut 19.28% kepada RM21.72 juta daripada RM26.91 juta tahun lepas, apabila hasil turun 14.67% kepada RM103.23 juta daripada RM120.98 juta, 

 

Ia disebabkan oleh penurunan dalam hasil daripada ketiga-tiga segmen iaitu perubatan, automotif dan perindustrian.

 

Keuntungan sembilan bulan yang lebih rendah itu juga disebabkan oleh tarif elektrik yang lebih tinggi, perbelanjaan sekali sahaja sebanyak RM776,000 yang berkaitan dengan pemindahan penyenaraian kumpulan ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, dan perbelanjaan nilai saksama sebanyak RM1.59 juta untuk kumpulan itu. 

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu kekal optimis dengan prospek jangka pertengahan hingga panjang dan akan terus bekerjasama dengan pelanggan sedia ada dan baharu dalam pembangunan produk baharu.

 

“Oleh itu, tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, kumpulan itu menjangkakan prestasi bagi tahun kewangan semasa adalah memuaskan,” katanya. - DagangNews.com