Untung bersih Swift Haulage meningkat kepada RM28.4 juta pada 3QFY23 didorong peningkatan hasil segmen pergudangan | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Swift Haulage meningkat kepada RM28.4 juta pada 3QFY23 didorong peningkatan hasil segmen pergudangan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov - Untung bersih Swift Haulage Berhad meningkat kepada RM28.4 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM11.7 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Hasil kumpulan meningkat sebanyak RM8.8 juta kepada RM168 juta pada 3QFY23 berbanding RM159.3 pada suku sama tahun lalu didorong hasil tambahan daripada peningkatan kapasiti pengangkutan darat dan hasil yang lebih tinggi daripada segmen perniagaan pergudangan terutama selepas tiga gudang baharu siap pada tahun FY22.

 

Kumpulan itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM30.5 juta pada 3QFY23 berbanding RM15.3 juta pada tahun lalu iaitu RM15.1 juta lebih tinggi terutamanya.

 

"Ia disumbangkan oleh pendapatan lain yang lebih tinggi melalui pemerolehan 17.5% kepentingan dalam Global Vision Logistics Sdn. Bhd (GVL) bagaimanapun ia diimbangi kos kewangan yang lebih tinggi, faedah pekerja ESOS  dan perbelanjaan kos pengembangan perniagaan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, pertumbuhan sektor logistik di Malaysia dikaitkan dengan pertumbuhan dalam aktiviti ekonomi Malaysia serta perdagangan antarabangsa.

 

Katanya, prestasi perdagangan Malaysia bagi sembilan bulan pertama 2023 mengalami penurunan, dengan eksport mencatatkan penurunan sebanyak 8.4% dan import mengalami penurunan sebanyak 8.9% berbanding sembilan bulan pertama 2022.

 

Kumpulan itu  melihat peningkatan dalam permintaan bagi perkhidmatan pergudangan dan kekal positif terhadap potensi sektor ini walaupun aktiviti perdagangan yang perlahan.

 

"Kami tekad untuk mengembangkan kapasiti gudang di kedua-dua wilayah utara dan tengah, mengikut pelan yang ditetapkan.

 

"Peningkatan pegangan kami dalam GVL kepada 42.5% akan menubuhkan hab logistik terbesar ASEAN di Shah Alam dengan fasa 1 beroperasi pada suku keempat 2025 yang akan terus menyokong strategi pertumbuhan gudang kami.

 

"Bagi menunjukkan komitmen kami terhadap Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kami memperkenalkan penggerak utama elektrik pertama di Malaysia ke dalam kumpulan kami pada suku keempat tahun ini," katanya. - DagangNews.com