Untung bersih Tasco susut lebih 50% kepada RM7 juta pada 1QFY25 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Tasco susut lebih 50% kepada RM7 juta pada 1QFY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Julai - Untung bersih Tasco Bhd bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2024 (1QFY25) menyusut lebih 50% kepada RM7 juta berbanding RM14.2 juta bagi suku sama tahun lalu kesan penurunan jualan segmen rumusan perniagaan domestik (DBS).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku berkenaan juga menyusut kepada RM250 juta berbanding RM253 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

 

Katanya, pendapatan segmen rumusan perniagaan antarabangsa (IBS) meningkat sebanyak RM15.6 juta atau 18.3% daripada RM85.2 juta kepada RM100.8 juta manakala DBS mencatatkan kejatuhan jualan sebanyak 11.2%, susut daripada RM168 juta kepada RM149.1 juta.

 

Segmen penghantara kargo udara (AFF) meningkat RM13 juta (25.7%) daripada RM50.7 juta kepada RM63.7 juta dengan peningkatan itu sebahagian besarnya disumbangkan daripada pelanggan barangan pengguna cepat laris (FMCG) dan aeroangkasa.

 

"Hasil bahagian rumsan rantaian bekalan (SCS) meningkat daripada RM6.9 juta kepada RM10 juta berikutan peningkatan perniagaan daripada pengurusan pesanan. 

 

"Bagaimanapun, peningkatan hasil dalam segmen AFF dan SCS telah diimbangi sebahagiannya oleh penurunan hasil dalam bahagian segmen penghantara kargo laut (OFF).

 

"Hasil bahagian OFF merosot sebanyak RM500,000 (1.9%), daripada RM27.6 juta kepada RM27.1 juta kesan daripada pengurangan penghantaran daripada pelanggan bahan binaan kaca dan penebat elektrik," katanya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, pihaknya sudah membuat permulaan saksama bagi FY25 dengan hasil standing tahun sebelumnya tetapi sedikit terjejas disebabkan kos yang lebih tinggi daripada kadar pengangkutan ditambah dengan caj sekali sahaja sebanyak RM3.6 juta bagi perobohan ibu pejabat di Shah Alam bagi membina gudang setinggi empat tingkat.

 

Katanya, gudang empat tingkat itu akan mewujudkan 400,000 kaki persegi ruang boleh disewa, yang akan disambungkan kepada gudang 4 tingkat baharu yang sedia ada seluas 600,000 kaki persegi.

 

"Pembinaan telah pun dimulakan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026. Memasuki baki tempoh tahun kewangan, kami menjangkakan persekitaran operasi yang mencabar," katanya. - DagangNews.com