Untung bersih TNB susut 6.84% kepada RM893 juta akibat cukai lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih TNB susut 6.84% kepada RM893 juta akibat cukai lebih tinggi

TNB juga menanggung Cukai Makmur sebanyak RM113.5 juta

KUALA LUMPUR 30 Mei - Untung bersih suku pertama Tenaga Nasional Bhd susut 6.84% kepada RM893.1 juta daripada RM958.7 juta setahun sebelumnya berikutan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi.

 

TNB berkata, perbelanjaan cukai yang lebih tinggi itu disebabkan oleh peningkatan dalam perbelanjaan cukai tertunda sebanyak RM191.8 juta dan pengurangan dalam perbelanjaan cukai semasa sebanyak RM34.8 juta yang disebabkan oleh pendapatan bercukai yang lebih rendah, di sebalik cukai tambahan iaitu Cukai Makmur berjumlah RM113.5 juta.

 

Perolehan sesaham bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 turun kepada 15.6 sen daripada 16.81 sen sebelumnya, menurut pemakluman TNB di Bursa Malaysia hari ini.

 

Perolehan meningkat 36.42% kepada RM15.66 bilion daripada RM11.48 bilion, terutamanya disebabkan oleh kedudukan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang kurang pulih sebanyak RM3.5 bilion, berbanding tempoh yang sama sebelumnya yang berada di atas kedudukan pemulihan RM327.3 juta.

 

Perbelanjaan mengurus meningkat 46.9% kepada RM13.43 bilion daripada RM9.15 bilion terutamanya disebabkan oleh harga bahan api yang lebih tinggi yang diluluskan melalui ICPT.

 

Bagaimanapun, keuntungan operasi mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak RM41.8 juta atau 1.8% disebabkan oleh kerugian bersih yang lebih rendah akibat kemerosotan nilai instrumen kewangan.

 

TNB berkata prestasi suku pertamanya yang berdaya tahan disokong oleh pertumbuhan permintaan elektrik sebanyak 4%, selaras dengan peningkatan keseluruhan keluaran dalam negara kasar negara sebanyak 5%.

 

“Kumpulan itu menjangkakan prestasi yang munasabah untuk tahun 2022 dengan pelaksanaan Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) berkuat kuasa mulai 1 Feb. Bagaimanapun, kumpulan itu tetap berhati-hati terhadap kenaikan harga arang batu yang berpanjangan dan kesan daripada peningkatan prospek risiko kredit pelanggan.

 

"Kumpulan itu akan terus mengambil langkah berhemat dari segi keperluan operasi dan kewangannya untuk memastikan ia kekal berdaya tahan," tambahnya.

 

Harga saham TNB berakhir tidak berubah pada RM9.25, menjadikan permodalan pasaran sebanyak RM52.97 bilion. - DagangNews.com