Untung bersih UMediC Group susut kepada RM2.6 juta pada 2QFY24 berbanding RM2.9 juta pada tahun sebelumnya | DagangNews Skip to main content

Untung bersih UMediC Group susut kepada RM2.6 juta pada 2QFY24 berbanding RM2.9 juta pada tahun sebelumnya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mac - Untung bersih UMediC Group Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2024 (2QFY24) susut kepada RM2.56 juta berbanding RM2.91 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata, selepas perbelanjaan penyenaraian berkaitan pemindahan ke pasaran Utama Bursa Malaysia, untung bersih yang dinormalkan ialah RM3.1 juta atau peningkatan 7.6% berbanding suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Syarikat peranti perubatan itu mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 7.7% kepada RM13.5 juta berbanding RM12.5 juta pada 2QFY23.

 

Bagi perbandingan enam bulan terkumpul (1HFY24), kumpulan itu mencatatkan peningkatan 17.5% dalam hasil kepada RM28 juta berbanding RM23.8 juta bagi 1HFY23.

 

Selepas mengambil kira faktor perbelanjaan penyenaraian pemindahan, untung bersih normal kumpulan itu adalah sebanyak RM5.3 juta mencerminkan pertumbuhan 8.6% berbanding 1HFY23.

 

Perolehan yang lebih tinggi adalah daripada segmen pemasaran dan pengedaran serta pembuatan yang mengalami permintaan yang lebih tinggi di dalam dan di serantau untuk peranti perubatan serta bahan habis pakainya.

 

Kumpulan juga mengalami peningkatan dalam jumlah jualan untuk bahan habis guna perubatan keluarannya, terutamanya pelembap praisi siri HydroX dan pengatur jarak penyedut siri AirdroX yang meningkatkan lagi pendapatan.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Lim Taw Seong berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa peralihan kumpulan itu ke pasaran utama berada di landasan yang tepat.

 

Beliau berkata, pihaknya percaya bahawa langkah itu akan membuka peluang baharu yang lebih luas untuk mereka berkembang selain membawa kecemerlangan ke arah penjagaan kesihatan yang memenuhi keperluan industri.

 

"Kami juga sedang meningkatkan usaha dengan mengukuhkan tenaga kerja dan menjangkakan pelancaran kilang baharu yang akan memulakan pengeluaran dalam beberapa bulan akan datang.

 

"Kilang baharu itu bukan sahaja akan meningkatkan keupayaan pembuatan tetapi juga membolehkan kami memnuhi permintaan yang semakin meningkat untuk bahan habis pakai perubatan di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. - DagangNews.com