Untung bersih UMW Holdings melonjak 32.9% kepada RM134.5 juta pada suku pertama 2023 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih UMW Holdings melonjak 32.9% kepada RM134.5 juta pada suku pertama 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei - UMW Holdings Berhad telah mencatat keuntungan bersih RM134.5 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023, melonjak 32.9% daripada RM101.2 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan kumpulan bagi suku ini juga telah meningkat 20% kepada RM4.38 bilion berbanding RM3.65 bilion sebelumnya, didorong oleh peningkatan sumbangan daripada semua segmen berikutan momentum pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada suku semasa.

 

Pendapatan sesaham (EPS) meningkat kepada 11.51 sen pada suku ini daripada 8.66 sen sebelumnya.

 

Bagi pendapatan segmen pula, segmen automotif menyumbang RM3.6 bilion, 18.1% lebih tinggi daripada rekod RM3 bilion pada suku pertama tahun lalu, disebabkan jualan kenderaan meningkat.

 

Manakala segmen peralatan meningkat 17% kepada RM434.9 juta daripada RM371.8 juta didorong oleh permintaan yang lebih kukuh daripada pasaran tempatan dan luar negara.

 

Segmen pembuatan dan kejuruteraan pula melonjak 42.5% kepada RM323.6 juta berbanding RM227.1 juta disebabkan sumbangan lebih tinggi daripada semua sub-segmen, termasuk aeroangkasa berikutan penghantaran sarung kipas.

 

Menurut kumpulan itu, unjuran tiga tahun Rolls-Royce menunjukkan bahawa bilangan pesanan dijangka terus bertambah baik melangkaui tahap sebelum COVID-19.

 

Pesanan yang diramalkan lebih tinggi, digabungkan dengan pesanan tunggakan, akan meningkatkan kadar penggunaan loji dan dijangka menyumbang secara positif kepada subsegmen Aeroangkasa pada 2023.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata keputusan 1QFY23 yang melebihi tahap sebelum COVID-19 itu menjadi pendorong kumpulan.

 

 

Datuk Ahmad Fuaad Kenali
Datuk Ahmad Fuaad Kenali

 

 

“Melangkah ke hadapan, kumpulan akan terus menumpukan pada pengukuhan perniagaan terasnya melalui kecekapan operasi dan inisiatif pengurusan kos serta mempercepatkan inisiatif CREST@UMW untuk meningkatkan daya tahan perniagaan. Kumpulan menjangka dapat memberikan prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan 2023,” tambahnya. -DagangNews.com