Untung sebelum cukai dan zakat Bank Islam turun 13.7% pada 1QFY24 berbanding suku sebelumnya | DagangNews Skip to main content

Untung sebelum cukai dan zakat Bank Islam turun 13.7% pada 1QFY24 berbanding suku sebelumnya

Bank Islam catat untung kasar lebih rendah pada 1QFY24 berbanding 4QFY23. -Gambar MyTown
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Mei - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mencatatkan penurunan 13.7% untung sebelum cukai dan zakat (PBZT) sebanyak RM27.9 juta kepada RM176.2 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24), berbanding suku sebelumnya yang berakhir pada 31 Disember 2023 (4QFY23).

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, penurunan dalam PBZT antaranya disebabkan oleh pendapatan bersih yang lebih rendah dan peningkatan peruntukan bersih untuk kerugian penurunan kredit, yang diperimbangkan oleh pengurangan perbelanjaan keseluruhan.

 

Penurunan dalam pendapatan bersih Kumpulan sebagian besar disumbangkan oleh pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih rendah sebanyak RM22.1 juta atau 19.9%.

 

Ini terutamanya disebabkan oleh keuntungan bersih yang lebih rendah daripada transaksi pertukaran asing, pendapatan yang lebih rendah daripada yuran dan komisen, keuntungan bersih yang lebih rendah daripada jualan aset kewangan dengan FVOCI dan keuntungan bersih yang lebih rendah daripada semula menilai aset kewangan pada FVTPL.

 

Peruntukan bersih Kumpulan untuk kerugian penurunan kredit dan kemajuan meningkat sebanyak RM31.9 juta kepada RM42.3 juta berbanding dengan 4Q2023 sebanyak RM10.4 juta.

 

Perbelanjaan overhed adalah lebih rendah sebanyak RM20.6 juta atau 5.2% berbanding dengan perbelanjaan 4QFY23 terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan am, promosi, kakitangan dan penubuhan yang lebih rendah.

 

Sementara itu, berbanding 1QFY23 pula, Bank Islam merekodkan untung bersih RM129.2 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024, meningkat sebanyak 9.4%.

 

Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pendapatan bersih yang lebih tinggi dan elaun rosot nilai ke atas pembiayaan bersih yang rendah.

 

Suku sama turut menyaksikan pendapatan Bank Islam meningkat kepada RM1.14 bilion berbanding RM1.103 bilion setahun sebelumnya.

 

Hasil lebih tinggi pula antaranya disebabkan peningkatan pendapatan berasaskan dana bersih yang menokok sebanyak 5.4% kepada RM528.9 juta, didorong oleh pertumbuhan tahunan dalam sekuriti pembiayaan dan pelaburan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed dalam kenyataan media berkata, prestasi itu mempamerkan daya tahan dan keupayaan kumpulan dalam mengharungi dinamik pasaran yang berkembang.


 
Katanya, sehingga 31 Mac 2024, aset kumpulan berjumlah RM91 bilion, didorong oleh pertumbuhan dalam pembiayaan dan pelaburan sekuriti, diimbangi oleh pengurangan dalam tunai dan dana jangka pendek.

 

"Kumpulan akan terus mengutamakan asas dan memberi tumpuan kepada kunci kira-kira semasa menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

 

"Kami juga akan menyokong secara aktif melaksanakan model perniagaan baharu untuk mempelbagaikan penyelesaian pelanggan dengan menawarkan produk dan perkhidmatan inovatif, yang akan membezakan Bank Islam dalam pasaran yang kompetitif.

 

"Selain itu, kami berhasrat untuk meningkatkan pendapatan bukan berasaskan dana dan mempercepatkan pertumbuhan pembiayaan sambil mengembangkan tawaran pengurusan kekayaan dan mengukuhkan kedudukan dalam pasaran runcit," katanya.

 

Menurut Mohd Muazzam, Bank Islam menjangkakan pertumbuhan pendapatan yang lebih baik apabila ia mengembangkan jumlah pembiayaannya.- DagangNews.com