Untung selepas cukai Petronas Chemicals naik kepada RM809 juta bagi 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

Untung selepas cukai Petronas Chemicals naik kepada RM809 juta bagi 2QFY24

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan untung selepas cukai (PAT) sebanyak RM809 juta untuk suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), meningkat 15% berbandig suku tahun sebelumnya.

 

Kenaikan PAT suku kewangan ini disebabkan pendapatan lain yang berkaitan dengan penilaian semula pemiutang, di mana sebahagiannya diimbangi kerugian pertukaran mata wang asing tidak direalisasi untuk penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada sebuah syarikat usaha sama.

 

Pada suku tahun berakhir 30 Jun 2024 itu, pendapatan Petronas Chemicals meningkat 3% berbanding 1Q 2024 kepada RM7.7 bilion, didorong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi dalam segmen baja & metanol kumpulan dan sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen kimia khusus.

 

"Sektor petrokimia terus dibebani lebihan bekalan petrokimia global, kadar pertumbuhan rendah dan ketidakstabilan geopolitik di samping prospek ekonomi makro yang tidak menentu.

 

"Harga produk olefin tertentu kekal tinggi berikutan kekurangan bekalan sementara yang berpunca daripada gangguan logistik dan penutupan penyelenggaraan loji di rantau Asia Pasifik, manakala ketersediaan bekalan memberi impak pada harga urea, propilena dan monoetilena glikol. 

 

"Penekanan margin disebabkan oleh kos yang tinggi untuk tenaga, bahan mentah kimia dan operasi lain terus menimbulkan cabaran, terutamanya bagi pengeluar hiliran," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, Petronas Chemicals berkata, untuk separuh pertama FY24 secara kumulatif, pendapatan Kumpulan meningkat 4% tahun ke tahun kepada RM15.2 bilion berikutan sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen kimia khusus di samping impak pertukaran mata wang asing yang positif. 

 

"Pendapatan Sebelum Faedah, Pencukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) meningkat 6% tahun ke tahun kepada RM2.3 bilion dan PAT meningkat 29% berbanding 1H 2023 kepada RM1.5 bilion. 

 

"Petronas Chemicals mengumumkan pembayaran dividen interim sebanyak RM800 juta yang mewakili 55% daripada Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan (PATANCI) 1H 2024," jelasnya.

 

Dividen interim sebanyak 10 sen sesaham telah diisytiharkan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. Dividen berjumlah RM800 juta akan dibayar pada September 2024.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals, Mazuin Ismail berkata, landskap perniagaan kini menjadi semakin kompleks dan industri kimia terkesan dengan ketidaktentuan yang berpanjangan.

 

mazuin
MAZUIN ISMAIL

 

"Kita perlu mengharungi lebihan kapasiti dan permintaan rendah untuk tempoh yang lama. 

 

"Petronas Chemicals kekal teguh melaksanakan inisiatif-inisiatif kecemerlangan perniagaan kami untuk mengekalkan kecekapan dan keuntungan di samping memastikan strategi untuk mengekalkan kesinambungan masa hadapan Syarikat, yang merangkumi pelan penyahkarbonan, masih kekal mengikut jadual yang dirancang,” katanya.

 

Menurut Mazuin, untuk bahagian operasi menjelang 2H 2024 ini, Petronas Chemicals mempunyai beberapa aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan loji yang dijadualkan, di mana tumpuan segera adalah untuk melaksanakan aktiviti ini dengan selamat. 

 

"Selain itu, kami juga menantikan operasi komersial loji usaha sama kami, PCG PCC Oxyalkylates di Kertih, Terengganu.

 

“Dalam beberapa bulan akan datang, kami menjangkakan segmen Olefin & Derivatif akan lebih perlahan berikutan susulan bekalan selaras dengan pengakhiran penutupan serantau, sementara permintaan hiliran kekal rendah. Urea dijangka akan lebih kukuh berikutan peningkatan aplikasi pertanian, sementara ketersediaan bekalan metanol terus memberi impak kepada metanol,” jelasnya.

 

Tambah beliau, segmen kimia khusus dijangka mengalami pemulihan terhad pada separuh kedua tahun ini berikutan keadaan pasaran global yang tidak menentu dengan ketegangan geopolitik yang berterusan dan pemulihan yang kekal perlahan dalam permintaan pasaran.

 

"Cabaran dijangka berterusan dalam sektor pembangunan dan pembinaan, sementara sektor automotif menunjukkan tanda-tanda permintaan yang mendatar untuk separuh kedua 2024 walaupun terdapat peningkatan tertentu dalam sektor barangan pengguna,” katanya. - DagangNews.com