UOA Development catat peningkatan untung bersih sebanyak 41% kepada RM63.87 juta bagi 2QFY23 | DagangNews Skip to main content

UOA Development catat peningkatan untung bersih sebanyak 41% kepada RM63.87 juta bagi 2QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Untung bersih UOA Development Berhad meningkat sebanyak 41% kepada RM63.87 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding RM45.3 juta yang dicatatkan pada tahun lalu didorong hasil yang tinggi serta pendapatan pelaburan.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata, hasil kumpulan itu bagaimanapun susut sebanyak 19% kepada RM98.1 juta berbanding RM121.11 juta.

 

"Pendapatan kumpulan bagi suku yang dikaji adalah daripada pengiktirafan progresif projek pembangunan berterusan kumpulan, iaitu Laurel Residence dan Aster Hill, dan jualan saham terutamanya dari The Goodwood Residence dan United Point Residence," katanya.

 

Pemaju hartanah itu mencatatkan untung bersih sebanyak RM109.97 juta untuk enam bulan berakhir 30 Jun 2023 (1HFY23), meningkat 55% daripada RM70.69 juta setahun lalu, manakala hasil meningkat sebanyak 4% kepada RM183.33 juta daripada RM175.69 juta.

 

Kumpulan itu berkata, jualan hartanah baharu bagi tempoh berakhir 30 Jun 2023 adalah kira-kira RM303 juta, yang kebanyakannya diperoleh daripada The Goodwood Residence, Aster Hill, Laurel Residence dan United Point Residence.

 

Jumlah jualan belum dibil bagi tempoh itu berjumlah kira-kira RM285.2 juta.

 

"Kumpulan itu akan terus meneroka tanah pembangunan strategik yang memenuhi objektif kumpulan itu," katanya. - DagangNews.com