UOB lancar cawangan KL Main untuk penuhi peningkatan permintaan pelanggan | DagangNews Skip to main content

UOB lancar cawangan KL Main untuk penuhi peningkatan permintaan pelanggan

(Dari kiri) Andy Cheah, Ronnie Lim, Ng Wei Wei, Janet Young dan Mona Tan pada majlis perasmian cawangan KL Main di UOB Plaza 1 KL, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Jun - UOB Malaysia melancarkan cawangan utamanya di Kuala Lumpur (KL Main) yang terletak di ibu pejabat baharu bank, UOB Plaza 1 KL. 

 

Dengan penempatan semula ini, bank juga telah mengubah suai susun atur cawangan utamanya dengan menyediakan lebih banyak ruang bagi menyediakan pengalaman pelanggan melalui perbualan bersemuka, khidmat nasihat dan penyelesaian perbankan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, cawangan KL Main UOB telah menyediakan perkhidmatan perbankan kepada pelanggan selama hampir empat dekad. 

 

"Kami berbangga untuk berpindah ke ibu pejabat baharu dan telah mengubah suai ruang cawangan ini untuk memberi lebih tumpuan kepada keterlibatan pelanggan dan khidmat nasihat. 

 

"Penampilan baharunya yang kontemporari menunjukkan komitmen kami terhadap inovasi dan perkhidmatan yang diperibadikan, bergabung dengan kefungsian, keselesaan dan teknologi," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Turut hadir pada perasmian cawangan tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Borong UOB Malaysia, Andy Cheah; Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim; Ketua Saluran Kumpulan dan Pendigitalan UOB, Janet Young dan Pengurusan Cawangan Utama KL UOB, Mona Tan.

 

Ng berkata, dalam era digital yang mana perbankan boleh dilakukan dengan hanya beberapa klik sahaja, namun masih terdapat perkhidmatan yang hanya boleh dipenuhi secara bersemuka. 

 

"Kami akan terus memacu pendekatan saluran omni bagi menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan seperti yang mereka inginkan, sama ada melalui cawangan atau secara digital. 

 

"Semua cawangan kami akan berkembang secara progresif untuk menjadi ruang pelbagai fungsi yang diubah suai bagi memupuk hubungan lebih mendalam dan berpanjangan dengan pelanggan," katanya.

 

Katanya, pihaknya  juga akan terus melabur dalam titik sentuh digital  bagi menyediakan kemudahan perbankan di mana-mana sahaja kepada pelanggan.

 

Sementara itu, konfigurasi semula cawangan KL Main merupakan sebahagian daripada strategi transformasi cawangan UOB Malaysia bagi memenuhi permintaan semakin meningkat pengguna untuk khidmat nasihat serta perkhidmatan kepada perniagaan. 

 

Strategi ini dilaksanakan oleh bank bagi menyokong transformasi cawangannya di seluruh negara yang mana 14 cawangan dijangka siap menjelang akhir 2023. 

 

Bank menyasarkan untuk mereka bentuk semula semua cawangannya dalam tempoh lima tahun akan datang. - DagangNews.com