UOB Malaysia jalinkan kerjasama bangunkan penyelesaian perolehan serba lengkap pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia jalinkan kerjasama bangunkan penyelesaian perolehan serba lengkap pertama di Malaysia

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Nov - UOB Malaysia akan bekerjasama dengan Plenitude Solutions dan Visa untuk membangunkan penyelesaian perolehan serba lengkap yang pertama negara bagi membantu perniagaan tempatan dalam mengurus kos dengan cekap dan meningkatkan produktiviti.

 

UOB Visa Payables Automation (VPA) membolehkan syarikat memperoleh barangan dengan penyelesaian e-perolehan Plenitude Solutions dan membayar vendor mereka melalui akaun kad kredit komersial maya Visa UOB.

 

Menerusi penggunaan teknologi digital untuk mengurus aliran tunai dengan lebih baik dan meningkatkan kecekapan kos menjadi keutamaan bagi lebih 75% perniagaan di Malaysia.

 

UOB VPA akan mengautomasikan proses pembelian bermula daripada sebut harga, mengeluarkan pesanan pembelian sehingga invois serta pembayaran.

 

Perniagaan juga boleh menikmati kredit tanpa faedah bagi pembelian mereka dan melanjutkan aliran tunai sehingga 60 hari selain vendor akan terus menerima bayaran serta-merta.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, syarikat kini sedang meneroka pelbagai cara menggunakan teknologi untuk menyelaraskan proses operasi dan mengekalkan perniagaan mereka selepas pandemik COVID-19.

 

“Sekatan pergerakan yang dikuatkuasakan semasa pandemik telah menyebabkan lebih banyak perniagaan mendapatkan sumber untuk stok dan bahan mentah secara dalam talian, dan kemudian menilai semula strategi rantaian bekalan kewangan mereka untuk menjimatkan masa dan kos.

 

"Apabila negara memulakan semula aktiviti ekonominya, perniagaan perlu meningkatkan penggunaan teknologi untuk mengurus aliran tunai dengan lebih baik sambil meningkatkan produktiviti bagi pertumbuhan berterusan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.-Dagangnews.com