UOB Malaysia lancar U-Solar 2.0 memperluas pembiayaan mampan tenaga solar | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia lancar U-Solar 2.0 memperluas pembiayaan mampan tenaga solar

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mac - UOB Malaysia mengembangkan program U-Solar Bank bagi memudahkan akses pembiayaan untuk kontraktor dan pemaju projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar tempatan.

 

Menurut bank itu, U-Solar 2.0 memperluaskan penawaran program kepada pemain industri di seluruh rantaian nilai solar agar aliran pembiayaan lancar dengan syarat pembayaran yang lebih baik untuk kontraktor dan pemaju solar serta menghubungkan mereka kepada pembekal peralatan terkemuka di seluruh rantau ini.

 

“Syarat pembayaran lanjutan disediakan apabila kontraktor dan pemaju membeli daripada pembekal peralatan yang diluluskan.

 

Sebahagian daripada rangkaian penyelesaian program adalah pembiayaan perdagangan hijau yang diperkenalkan bagi menangani isu aliran tunai dan jurang dalam modal kerja untuk pemaju dan kontraktor yang biasanya mempunyai tempoh projek yang lama tetapi mungkin menghadapi syarat pembayaran pendek daripada pembekal peralatan,” kata bank itu dalam satu kenyataan hari ini.

 

U-Solar 2.0 menyediakan pembiayaan kepada mereka untuk membeli peralatan dan juga mengendali beberapa projek solar secara serentak, justeru mempercepatkan kadar penggunaan solar di rantau ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei berkata sebanyak hampir  RM1 bilion pembiayaan solar diberikan kepada korporat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta pemilik rumah.

 

“Kami menjangka dapat meningkatkan pembiayaan mampan untuk tenaga solar sebanyak 50% dalam tempoh 12 bulan akan datang, didorong tinjauan yang menggalakkan bagi industri tenaga solar serta sokong kuat kerajaan terhadap tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ng berkata, PKS memerlukan bantuan kewangan untuk menyokong keperluan peralihan hijau mereka justeru bank tersebut telah memperuntukkan RM1 bilion di bawah program pembiayaan U-Green.

 

Di samping itu, bantuan bukan kewangan seperti bengkel kesedaran dan pengetahuan turut disediakan di bawah kerjasama dengan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), tambahnya.

 

PKS dan syarikat bersaiz sederhana yang layak dan ingin memasang panel solar di premis mereka di bawah program U-Solar boleh memanfaatkan pembiayaan U-Green dengan jaminan sehingga 80% daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Malaysia (SJPP). -DagangNews.com