UPM beri pendedahan aktiviti rekreasi lasak kepada golongan OKU | DagangNews Skip to main content

UPM beri pendedahan aktiviti rekreasi lasak kepada golongan OKU

Aktiviti 'water rafting' bersama peserta OKU yang dikawal pelajar UPM.

KUALA LUMPUR 18 Jan - Seramai 36 pelajar Bacelor Sains Taman dan Rekreasi, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program rekreasi inklusif buat individu Orang Kurang Upaya (OKU) di RiverBug, Gopeng, Perak, baru-baru ini. 

 

Pengarah program, Muhammad Fakhrul Azim Muhammad Nizam berkata, program tersebut memberi pendedahan aktiviti rekreasi lasak kepada golongan itu, selain meningkatkan kemahiran pelajar menyantuni OKU ketika berekreasi.

 

Katanya, program tersebut dapat meningkatkan nilai inklusif dalam kalangan masyarakat terhadap semua individu.

 

"Penganjuran program ini merupakan amali dua kursus kami iaitu kursus Rekreasi Terapeutik bagi Golongan Istimewa dan kursus Pengurusan Risiko dalam Rekreasi.

 

"Ini merupakan pengalaman yang berharga buat kami semua dalam menyantuni peserta OKU bersama orang awam yang kita terima melalui persatuan OKU," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Pensyarah Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan UPM, Dr Mohd Aswad Ramlan berkata, langkah yang diambil untuk melibatkan OKU dalam aktiviti rekreasi dapat membina jambatan untuk memastikan setiap individu tanpa mengira kekurangan merasa diterima dan dihargai masyarakat.

 

Beliau yang juga merupakan penyelidik dalam bidang rekreasi terapeutik di UPM berkata, aktiviti rekreasi bukanlah semata-mata tentang keseronokan, tetapi merupakan medium kepekaan masyarakat terhadap kepelbagaian individu dalam komuniti.

 

 

UPM
Pelajar UPM membantu peserta OKU, Ikmal Mustafa Musbah, 25, umemakai jaket keselamatan dan alatan terapung.

 

 

"Dengan mengambil langkah kecil untuk melibatkan OKU dalam aktiviti rekreasi, individu bukan sahaja memberi mereka peluang yang sama, tetapi juga membina kelompok masyarakat yang Madani, inklusif, dan bertanggungjawab.

 

 

UPM
Para peserta bergambar bersama sebelum melakukan aktiviti sukan air lasak.

 

 

"Langkah ini penting dalam membangunkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan OKU dan membuka ruang bagi mereka untuk terlibat secara aktif dalam kehidupan komuniti," katanya.

 

 

UPM

 

 

Katanya, penganjuran program itu juga secara tidak langsung menyokong Pelan Strategik UPM 2021-2015 Matlamat 1 iaitu melahirkan watak graduan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang. - DagangNews.com