UPM jalankan kajian pencemaran di Sungai Kuang untuk bangunkan pangkalan data | DagangNews Skip to main content

UPM jalankan kajian pencemaran di Sungai Kuang untuk bangunkan pangkalan data

Sungai Kuang, Selangor - Gambar New Straits Times
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Fakuti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan kajian corak pencemaran hidraulik dan hidrologi di Sungai Kuang, Selangor untuk membangunkan pangkalan data bahan cemar di sungai tersebut.

 

Ketua projek, Prof Madya Dr Nor Rohaizah Jamil berkata, pembangunan pangkalan data itu untuk melihat ciri-ciri bahan cemar di sungai tersebut dengan menggunakan bahan pewarna mudah terurai yang dipantau menggunakan dron dan simulasi pemodenan.

 

Katanya, bahan pewarna mudah terurai digunakan disebabkan ciri kebolehkesanannya yang tinggi memberikan pengukuran dan pengesanan tepat pergerakan dalam sistem air dapat dilaksanakan seperti sungai, tasik dan air bawah tanah.

 

"Kajian ini akan dijalankan mulai Jun 2023 iaitu pada musim biasa, November 2023 bagi musim tengkujuh dan Mac 2024, musim kering, memberi manfaat dalam mengenalpasti lokasi bahan cemar dalam merancang pelan tindakan sekiranya berlaku pencemaran di sungai ini.

 

"Data ini akan digunakan semasa situasi kecemasan yang boleh memberi impak kepada pengguna air seperti pencemaran mengejut di Sungai Kuang serta mempercepatkan kerja-kerja pemulihan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Nor Rohaizah, 'Rhodamine WT' merupakan pewarna merah terang akan menarik perhatian dan mungkin menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat sekitar, namun jangka hayatnya di dalam air yang pendek dan sifatnya mesra alam serta selamat digunakan.

 

Katanya, ia juga tidak memberi kesan langsung atau tidak langsung kepada spesis akuatik dan tidak akan masuk ke dalam rantaian makanan.

 

"Penduduk di kawasan sekitar Sungai Kuang (dari Kampung Orang Asli Kuang ke Batu Arang) mungkin dapat melihat perubahan air sungai semasa pewarna Rhodamine WT melalui kawasan sungai berhampiran mereka sewaktu eksperimen dilaksanakan," katanya.

 

Kajian itu diterajui oleh UPM dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan TNB Research Sdn Bhd serta turut dibantu oleh penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - DagangNews.com