UPM kongsi kepakaran bidang pertanian dengan pelajar Sekolah Henry Gurney Melaka | DagangNews Skip to main content

UPM kongsi kepakaran bidang pertanian dengan pelajar Sekolah Henry Gurney Melaka

Pelajar UPM bersama pelajar Sekolah Henry Gurney menjalankan aktviti penanaman cili di Sekolah Henry Gurney Melaka pada 23 Mei 2023.

KUALA LUMPUR 24 Mei - Seramai 24 pelajar dari Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) berkongsi ilmu penanaman cili dan baja organik 'vermikompos' bersama 29 pelajar Sekolah Henry Gurney (SHG) Melaka bagi mengembangkan kemahiran ilmu pertanian.

 

Pensyarah Jabatan Teknologi Pertanian UPM, Dr Jasmin Arif Shah berkata, perkongsian ilmu pertanian dalam program 'Membina Masa Depan dengan Pertanian 2.0' itu membantu dan menyokong komuniti mengeluarkan hasil tanaman dan memenuhi kehendak pasaran bagi menjamin sekuriti makanan.

 

Katanya, perkembangan kemahiran pertanian kepada pelajar SHG Melaka sedikit sebanyak memberi nilai tambah kepada pelajar-pelajar di masa hadapan dengan dunia pertanian.

 

"Pada awalnya ada pelajar SHG yang tidak minat dengan pertanian tetapi setelah melakukan dua aktiviti hari ini secara fizikal mereka berasa tertarik.

 

"Hari ini, dua modul yang kita bawa iaitu fertigasi penanaman cili dan penghasilan baja organik vermikompos menggunakan buku kecil yang dihasilkan sendiri 24 pelajar Kursus Komunikasi Pengembangan dan Demonstrasi Kaedah Pertanian (TKP3205)," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Katanya, buku modul berkenaan memberi kemudahan kepada pelajar SHG Melaka untuk melaksanakan aktiviti berdasarkan carta gambar dan penerangan yang ringkas.

 

 

upm
Pelajar Sekolah Henry Gurney Melaka melakukan aktiviti fertigasi cili.

 

 

upm
Pelajar Sekolah Henry Gurney Melaka mendengar taklimat awal sebelum melaksanakan aktiviti pertanian.

 

 

upm

 

 

"Kita juga hendak melakukan pemindahan ilmu pertanian kepada komuniti tanpa mengira lapisan masyarakat," katanya yang juga menyimpan hasrat untuk melaksanakan program pertanian 3.0 di sekolah tersebut.

 

Sementara itu, Pengarah program, N Tamilarasan menyifatkan perkongsian itu dapat membantu pelajar yang berminat dalam bidang pertanian untuk mula melakukan penanaman dan pengurusan pelbagai jenis tanaman. - DagangNews.com