Urus niaga tambah saham dalam Affin Bank bakal diumum dalam masa terdekat - Premier Sarawak | DagangNews Skip to main content

Urus niaga tambah saham dalam Affin Bank bakal diumum dalam masa terdekat - Premier Sarawak

Tan Sri Abang Johari Openg dalam sidang media di Menara Affin, Tun Razak Exchange di sini hari ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Jan - Urus niaga penambahan saham kerajaan Sarawak dalam Affin Bank Berhad akan diumumkan dalam jangka terdekat, kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.

 

"Perbincangan dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berhubung penambahan pegangan dalam Affin Bank kelihatan baik," kata beliau.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Benar-benar menjadikah kerajaan negeri Sarawak beli Affin Bank?

 

Premier Sarawak itu bagaimanapun, enggan mengulas lanjut tentang perkara itu memandangkan Affin Bank merupakan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

 

Kerajaan negeri itu menerusi cabang pelaburan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak pada masa ini memegang 4.95% kepentingan dalam kumpulan perbankan itu pada harga RM221.74 juta pada April 2023.

 

Ia dilaporkan berminat untuk memperoleh tambahan 15% dalam Affin Bank daripada LTAT, yang mempunyai 29.7% kepentingan langsung dalam kumpulan perbankan tersebut manakala anak syarikat milik penuhnya, Boustead Holdings Bhd mempunyai 20.65% kepentingan.

 

Ketika ditanya mengapa Sarawak melihat untuk memiliki pegangan dalam bank sedangkan negeri lain tidak. Abang Johari menjelaskan bahawa kerajaan negeri sebelum ini mempunyai enam bank, seperti Bank Utama, Hock Hua Bank dan Wah Tat Bank.

 

“Apabila dasar (kerajaan persekutuan) dilaksana untuk menggabungkan semua bank ini, bank-bank kita semua telah ditelan oleh bank-bank besar, jika saya boleh menggunakan perkataan ‘tertelan’.

 

"Kami memerlukan bank untuk meningkatkan perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan juga aktiviti perniagaan di Sarawak," ujar beliau dalam sidang media selepas berkongsi tinjauan ekonomi Sarawak pada majlis anjuran Affin Bank di Menara Affin, Tun Razak Exchange di sini hari ini.

 

Affin Bank menjemput Abang Johari sebagai tetamu kehormat pada acara ‘Masa Hadapan Pasaran Malaysia 2024 – Menganjak Malaysia Ke Hadapan’.

 

Abang Johari berkata, kerajaan negeri berminat dengan bank itu kerana ia adalah sebahagian daripada pelaburan mereka dan akan meningkatkan perbelanjaan modal. 

 

Saham Affin Bank ditutup tinggi 12 sen atau 4.8% pada RM2.62 hari ini dengan permodalan pasarannya bernilai RM6.15 bilion. - DagangNews.com