KUALA LUMPUR 21 Nov - Usaha Malakoff Corp Bhd mengembangkan perniagaan utiliti yang lebih bersih seperti pengurusan sisa tidak akan memberi kesan pendapatan yang ketara dalam tempoh terdekat.
Kenanga Research berkata kumpulan itu membuat langkah yang betul untuk mengisi jurang pendapatan susulan loji kuasa bahan api fosil yang tamat tempoh dengan perniagaan utiliti lebih bersih seperti pengurusan sisa.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata ia mengambil masa untuk mengembangkan saiz perniagaan baharu tersebut.
Firma itu berkata demikian susulan lawatan ke Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) yang dikendalikan oleh anak syarikat Malakoff, Alam Flora.
Menurut firma itu, pengembangan perniagaan rumusan persekitaran, termasuk cadangan pengambilalihan 49% pegangan ekuiti dalam E-Idaman Sdn Bhd tidak akan memberi kesan pendapatan yang ketara dalam tempoh terdekat, namun menunjukkan usaha kumpulan mencari aliran pendapatan baharu untuk menggantikan PPA yang telah tamat tempoh.
Jelasnya, dua daripada loji janakuasa Malakoff telah tamat tempoh, iaitu Loji Janakuasa PD 436MW pada Februari 2019 dan Loji Janakuasa GB3 640MW pada Disember 2022.
Selain itu, perjanjian pembelian kuasa (PPA) Loji Janakuasa Prai 350MW akan tamat pada 2024, Loji Janakuasa 1,303MW SEV pada 2027 dan Kapar Power Plant yang dimilikinya 40% a pada 2029,
“Walaupun Malakoff disukai kerana kestabilan pendapatannya yang disokong oleh IPP dan konsesi, terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam pengurusan risikonya untuk mengurangkan atau bahkan menghapuskan ketidaktentuan pendapatan yang tidak perlu seperti gangguan tidak dirancang serta turun naik margin bahan api,” kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘market perform’ dengan harga sasaran (TP) 63 sen sesaham.
Risiko kepada saranan tersebut adalah termasuk risiko kawal selia dan gangguan tidak dirancang yang membawa kepada pembayaran kapasiti lebih rendah sekali gus menjejas pendapatan.
Di samping itu, terdapat risiko daripada ketidakpatuhan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang ditetapkan oleh pelbagai pihak berkepentingan serta turun naik pendapatan berpunca daripada keuntungan atau kerugian margin bahan api.
Setakat pukul 11:37 pagi ini, saham Malakoff telah turun 0.5 sen atau 0.8% kepada 65 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM3.25 bilion. - DagangNews.com